Sultan Johor titah PM bersihkan rasuah, tak kiralah jika usia mereka cecah 100 tahun



SULTAN Ibrahim Iskandar menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri terbaik dalam menjalinkan hubungan antara kerajaan Persekutuan dengan negeri itu.

Malah baginda mengakui hubungan itu bertambah baik berbanding dengan mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.

“Kami (Sultan Johor dan Anwar) telah bekerjasama dengan baik. Saya boleh katakan ia lebih baik daripada mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.


“Kami kerap bertukar pandangan, sama ada dalam mesyuarat atau melalui panggilan telefon.

“Berunding di antara satu sama lain dan bertukar-tukar idea bagaimana kami boleh membangunkan negeri ini dengan lebih baik,” titah Sultan Johor memetik laporan The Star, hari ini.

Baginda berkata demikian ketika ditanya ramalan baginda terhadap Kerajaan Perpaduan selepas 100 hari.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim pernah mengkritik Kerajaan Persekutuan termasuk mendakwa Johor dilayan seperti anak tiri.


Sementara itu Sultan Ibrahim menggesa Kerajaan Perpaduan dan agensi berkaitan membersihkan pentadbiran kerajaan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap perlakuan rasuah.

Baginda menyifatkan rasuah sebagai “kanser” yang telah merosakkan reputasi Malaysia di peringkat global.

“Ubah. Bersihkan seluruh sistem dan bersihkan yang korup, tidak kira siapa pun mereka.Tidak kira sama ada usia mereka mencecah 100 (tahun) atau belum mencapai 100. Tiada alasan.

“Jika Najib (Datuk Seri Najib Razak) boleh dimasukkan ke dalam penjara, bagaimana dengan orang lain? Reputasi Malaysia telah terjejas kerana rasuah. Kita perlu singkirkan kanser ini,” katanya. – Malaysiapost



Join our Telegram Channel
Telegram