Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun 11 bulan meninggal dunia selepas
ditemui tertinggal di dalam kereta lebih empat jam di hadapan sebuah tadika di
Taman Ria di Sungai Petani, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata mangsa ditemukan
dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kereta jenis Proton Waja milik
pengetua tadika terbabit pada 12.15 tengah hari.
Beliau berkata sebelum itu, mangsa yang tinggal berhampiran tadika tersebut
telah dijemput pengetua wanita terbabit kira-kira 7.45 pagi dan mangsa ketika
itu dalam keadaan sihat duduk di tempat duduk belakang kereta.
“Sebelum itu, pengetua terbabit juga mengambil seorang pelajar lain yang
berumur 5 tahun dan diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan dan sampai
sahaja di hadapan tadika, seorang guru telah ambil pelajar yang berada di
bahagian penumpang hadapan dan terus masuk ke dalam tadika.
“Pengetua itu pula terus parkir kereta di tepi luar tadika dan mematikan enjin
kereta. Ketika kejadian, mangsa masih berada di dalam kereta dengan keadaan
pintu dan cermin tertutup serta tiada ruang pengudaraan,” katanya dalam
kenyataan di Sungai Petani hari ini.
Adzli berkata mangsa berada dalam kereta itu mulai 8 pagi dan pada 12.15
tengah hari pengetua terbabit dimaklumkan oleh seorang guru bahawa mangsa
tidak hadir ke tadika menyebabkan pengetua terbabit terus menuju ke keretanya
dan mendapati mangsa dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri.
“Pengetua itu telah menghubungi pihak ambulans dan buat bantuan penafasan
(CPR) namun mangsa tidak sedarkan diri. Mangsa dibawa ke hospital dengan
ambulans dan hasil pemeriksaan doktor di bahagian kecemasan mengesahkan mangsa
sudah meninggal dunia semasa sampai di hospital,” katanya.
Beliau berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor
Setar untuk bedah siasat hari ini dan pengetua terbabit direman tiga hari
bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Join our Telegram Channel