Bermula esok, Perlis membenarkan jemaah solat merapatkan saf bersyarat di
semua masjid di negeri itu.
Bagaimanapun, kebenaran itu hanya diberikan kepada jemaah yang hadir bersama
keluarga tinggal sebumbung untuk merapatkan saf sesama mereka, manakala jemaah
lain masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah ketetapan
itu mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail
setelah melihat kepada keperluan sedia ada dan tahap ketaatan serta kepatuhan
tinggi seluruh rakyat terhadap SOP ditetapkan kerajaan.
“Jemaah yang hadir bersama keluarga tinggal sebumbung boleh merapatkan saf
sesama mereka, dengan memastikan selain daripada mereka, perlu mengamalkan
penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter seperti ditetapkan dalam SOP,"
titah baginda dalam kenyataan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu
Perlis (MAIPs) hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin selaku Yang Dipertua MAIPs bertitah kebenaran itu turut
terpakai untuk semua aktiviti pengimarahan sama ada solat Jumaat, solat
berjemaah lima waktu serta solat tarawih dan kuliah pengajian di semua masjid
dan surau asrama sahaja, manakala pelaksanaan sebarang aktiviti di surau
seluruh negeri Perlis masih tidak dibenarkan.
Join our Telegram Channel