KUALA LUMPUR: Perisytiharan darurat sama sekali tiada kaitan dengan politik
atau untuk membolehkan Muhyiddin Yassin mengekalkan jawatan sebagai perdana
menteri, sebaliknya langkah itu bagi membolehkan isu Covid-19 diuruskan secara
berkesan dan segera.
Ketika menjelaskan kedudukan sebenar darurat yang diisytiharkan atas perkenan
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah atas nasihatnya,
Muhyiddin berkata, beliau tetap berpegang kepada janji yang darurat akan
ditamatkan lebih awal dari 1 Ogos, jika pandemik itu berjaya dibendung.
“…kalau boleh selesai awal (dan) jawatankuasa khas bebas yang ditubuhkan kata
dah boleh (tamat), saya ikut sajalah…Kita pun tak nak selama-lama dikongkong
oleh peraturan sebegini,” katanya dalam wawancara khas bersama Bernama dan
beberapa organisasi media sempena setahun beliau menjadi perdana menteri di
kediamannya di Bukit Damansara.
Muhyiddin berkata, melalui Ordinan Darurat, kerajaan boleh mencadangkan
pindaan terhadap beberapa akta atau perkara baru yang ingin dibuat dalam
bentuk ordinan tanpa menunggu proses melalui Parlimen dan mengambil masa yang
lama.
Tak bimbang sokongan di Parlimen
“Jadi, saya sebutkan ini bukan makna darurat itu untuk darurat supaya saya
boleh duduk lama jadi perdana menteri, saya pun tak tahu parti mana sekarang
yang mempunyai jumlah kerusi lebih besar daripada saya, dulu adalah contoh
(cubaan) nak tunjukkan, tapi tak terbukti.
“Saya yakin saya mempunyai sokongan yang besar. Saya yakin kedudukan saya ini
mengikut Perlembagaan, sah di sisi undang-undang. Saya tak boleh duduk sebagai
perdana menteri haram. Saya buat kerja betul, tu sebabnya. Jadi, saya tak
bimbang itu.
“Tapi, perisytiharan darurat ni bukan soal politik, ada orang politik faham
sebab politik, tidak. Politik tiada penggunaan darurat, tapi Covid ini
perlukan darurat…Jadi, saya harap rakyat faham, bukan pasal soal takut tak
dapat majoriti di Parlimen.”
‘Tak nak tunggu sehari pun untuk adakan PRU’
Katanya, pilihan raya umum ke-15 akan diadakan bila tiba masa sesuai kerana
apa yang penting sekarang ialah kerajaan perlu menyelesaikan isu pandemik
Covid-19 terlebih dahulu yang sehingga kini menjangkiti hampir 300,000 orang
di seluruh negara dan menyebabkan lebih 1,000 kematian.
“…yang mustahak kita selesaikan ini (Covid) dulu. Apabila selesai, saya tak
nak tunggu sehari pun…bukan kita bimbang apa-apa pun.”
Jangkitan Covid-19 mula melanda negara pada 25 Jan 2020 dengan gelombang
pertama melibatkan kes import, manakala gelombang kedua pada akhir Februari
2020. Kes jangkitan Covid-19 memasuki gelombang ketiga pada pertengahan
September 2020 selepas pilihan raya negeri di Sabah.
Berikutan kes gelombang ketiga yang sehingga kini melonjak daripada puluhan
kepada ribuan kes sehari, Muhyiddin menasihatkan Agong mengisytiharkan
darurat. Pada 12 Jan lalu, Sultan Abdullah memberi perkenan darurat
dilaksanakan sehingga 1 Ogos.
ARTIKERL BERKAITAN:
- Dua MP PKR serah SD sokong PN
- Saya mempunyai sokongan besar, darurat tiada kaitan politik, kata Muhyiddin
Join our Telegram Channel