PETALING JAYA – Meleraikan segala teka-teki umum, selebriti popular Neelofa
akhirnya menamatkan zaman bujang hari ini.
Berlokasikan sebuah hotel terkemuka di ibu negara, Neelofa atau nama
sebenarnya Noor Neelofa Mohamad Noor, 32, dan Haris Ismail,26, disatukan
sebagai suami isteri dalam sebuah majlis bertemakan Jabbal Rahmah iaitu satu
daripada lokasi popular yang diziarahi jemaah umrah dan haji di Mekah.
Menurut sumber terdekat yang boleh dipercayai, bekas pengacara MeleTOP itu dan
kekasih hatinya diijabkabulkan hari ini sekitar pukul 10.30 pagi.
“Majlis pernikahan berlangsung pada sebelah pagi ini. Majlis hanya dihadiri
ahli keluarga dan kenalan rapat saja, segala perincian akan diumumkan sebaik
mereka diijab kabul,” ujar sumber berkenaan.
Menariknya, tema yang dipilih memerlukan kedua mempelai dan semua tetamu yang
diundang ke majlis berkenaan mengenakan busana berona putih.
Terdahulu, bibit-bibit cinta antara Neelofa dan Haris semakin mekar apabila
mereka bekerjasama membangunkan sebuah pertubuhan kebajikan yang dinamakan
Pertubuhan Kasih Neelofa Jun tahun lalu.
Sejak itu, Haris dilihat semakin kerap mengunjungi kediaman keluarga Neelofa
di Damansara bagi tujuan memberi ceramah berkaitan ilmu agama.
Wanita yang pernah tersenarai antara 300 individu dalam Forbes 30 Under 30
Asia 2017 bagi kategori E-Dagangan dan Peruncitan oleh majalah perniagaan
antarabangsa Forbes itu membuat kejutan pada 15 Oktober tahun lalu apabila
mengambil keputusan untuk berniqab.
Tidak sampai sebulan kemudian, wanita kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu
mengejutkan ramai apabila dirisik Haris yang juga bekas peserta program
realiti keagamaan, Pencetus Ummah pada 1 November tahun lalu.
Join our Telegram Channel