Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyoal bilakah kerajaan berhasrat untuk
menasihati Yang Di-Pertuan Agong supaya mengadakan persidangan parlimen.
Ini katanya, kerana negara sudah menamatkan perintah kawalan pergerakan (PKP)
dan lebih banyak perniagaan dibenarkan dibuka.
"Memandangkan tiada lagi negeri dikenakan PKP, agak-agaknya bila pula parlimen
boleh kembali bersidang," soalnya pada hantaran di Facebook.
Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) akan berkuat kuasa di Selangor,
Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang bermula 5 Mac ini, manakala pada masa
sama, penguatkuasaan PKPB kekal di Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak
dan Perak.
Bagi Melaka, Pahang,Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan, perintah kawalan
pergerakan pemulihan (PKPP) akan dikuatkuasakan, juga bermula 5 Mac ini.
Penguatkuasaan PKPP kekal di Perlis.
Bermula 5 Mac pusat pelancongan, pawagam dan pusat penjagaan diri dibenarkan
beroperasi tertakhluk prosedur operasi standard (SOP) membendung penularan
Covid-19.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata
Yang di-Pertuan Agong
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah telah
bertitah bahawa "tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi
darurat menghalang parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat."
Oleh itu, Zahid, yang juga ahli parlimen Bagan Datuk, berkata sidang Dewan
Rakyat perlu berlangsung walaupun dalam keadaan darurat.
"Pak Menteri sila 'move on'. Jom kita bersidang demi kepentingan rakyat
dan negara. Inikan negara demokrasi," katanya lagi.
PKP mula dilaksanakan pada 13 Januari. Pengisytiharan darurat pula pada 11
Januari.
Pengisytiharan darurat, yang berakhir pada Ogos ini, juga menyaksikan
penggantungan parlimen.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata darurat diperlukan untuk membantu
memerangi wabak Covid-19.
Tetapi pengkritik menuduhnya cuba menyekat parlimen bersidang setelah
kehilangan majoriti di Dewan Rakyat.
Ini apabila dua ahli parlimen Umno, MP Padang Rengas
Nazri Aziz
dan MP Machang
Ahmad Jazlan Yaakub
mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan PN.
Bagaimanapun, Muhyiddin kembali memperoleh majoriti mudah setelah
dua lagi ahli parlimen PKR
berpaling tadah.
Muhyiddin telah memberi jaminan akan mengadakan pilihan raya umum selepas
berjaya mengendalikan wabak Covid-19.
Penularan wabak itu kini secara beransur-ansur berkurangan dengan 1,555 kes
baru semalam, yang terendah untuk tahun ini.
Join our Telegram Channel