SHAH ALAM: Tindakan pemimpin Umno yang tidak sebulat suara dalam menyatakan
sokongan secara terbuka terhadap Anwar Ibrahim menyebabkan hasrat Pakatan
Harapan menawan Putrajaya kembali, sepertimana diumumkan presiden PKR sebelum
ini gagal, kata Khalid Samad.
Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, tindakan Umno itu juga menyebabkan
dakwaan Anwar, bahawa beliau mempunyai majoriti kerusi Parlimen yang cukup
untuk membentuk kerajaan Persekutuan tidak dapat direalisasikan dan sehingga
kini dipertikaikan ramai.
“Umno tidak sebulat suara dan tidak sanggup nyatakan secara terbuka, walaupun
Anwar dikatakan mempunyai lebih daripada 112 kerusi.
“Keengganan mereka menyatakan secara terbuka dengan berani bahawa Umno sokong
Anwar sebagai calon perdana menteri menyebabkan kenyataan Anwar dipertikai,”
kata beliau kepada FMT.
September lalu, Anwar dalam sidang media mendakwa mempunyai majoriti yang
kukuh dan meyakinkan, iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk
kerajaan.
Kata beliau, Ahli Parlimen yang menyokongnya adalah daripada pelbagai parti,
namun enggan mendedahkan bilangan mereka.
Namun, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menjelaskan,
Anwar sekadar mengemukakan bilangan Ahli Parlimen yang didakwa menyokong
beliau, tanpa mengemukakan senarai nama mereka untuk menyokong dakwaannya.
Khalid bagaimanapun berkata, parti beliau, Amanah, secara dasarnya memberi
ruang dan hormat kepada Anwar untuk mencari sokongan bagi membentuk kerajaan
Persekutuan, walaupun Amanah sendiri bersedia untuk bekerjasama dengan Dr
Mahathir Mohamad serta rakan sekutunya, termasuk Shafie Apdal dari blok Sabah.
“Amanah hormati pilihan mereka dan menganggap Anwar sebagai calon perdana
menteri. Memang perlu diberikan ruang untuk mengusahakan sokongan Ahli
Parlimen, Umno dan BN.
“Itu haknya, kita tidak halang. Kedudukan Anwar sebagai Pengerusi PH dan
sebagai (calon) perdana menteri tidak terjejas.
“Namun,walaupun Amanah tidak menghalang Anwar untuk cuba (dapatkan sokongan
Ahli Parlimen), memandangkan dia juga kenal Ahli-ahli Parlimen Umno dahulu,
bagi kami, pendekatan lebih mantap dan berkemungkinan capai kejayaan adalah
Mahathir, Shafie dan Syed Saddiq,” kata beliau.
Mengulas berkenaan dakwaan Amanah kini terbahagi kepada dua kem – satu
berpihak kepada Mahathir dan satu lagi kepada Anwar – Khalid menafikan perkara
itu, memandangkan 11 Ahli Parlimen Amanah sudah memutuskan untuk terus
menyokong Anwar sebagai perdana menteri seterusnya.
“Dalam konvensyen Amanah hujung tahun lepas, kita sudah buat satu keputusan
untuk usahakan sebuah ‘gabungan besar’ yang dipimpin oleh PH, yang pula
diterajui Anwar. Ia adalah untuk satukan pembangkang, termasuklah Pejuang,”
kata beliau.
Jelas beliau, hasrat Amanah adalah supaya parti-parti pembangkang dapat
bergabung kembali sepertimana yang berlaku pada 2018 sehingga menjatuhkan
pentadbiran Barisan Nasional di peringkat Persekutuan.
Join our Telegram Channel