PETALING JAYA: Jemaah Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya tidak
melaksanakan persidangan Parlimen ketika tempoh darurat dilaksanakan sehingga
1 Ogos depan, kata Takiyuddin Hassan.
“Istana Negara menyatakan kalau hendak adakan persidangan Parlimen, maka perlu
adanya keputusan daripada Jemaah Menteri, bukannya perdana menteri.
“Jadi di sini, Kabinet apabila membuat nasihat, kenapa kita menangguhkan
bukannya menggantung persidangan Parlimen kerana banyak alasan.
“Ada alasan perundangan dan ada alasan dari segi sains dan data. Kita boleh
tangguhkan dahulu persidangan Parlimen,” kata menteri di Jabatan Perdana
Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu pada sidang media.
Takiyuddin berkata, kenyataan dibuat Istana Negara sebelum ini adalah untuk
menjelaskan bahawa tidak ada persidangan Parlimen.
“Berdasarkan Seksyen 14(1) Ordinan Kuasa-Kuasa Perlu, memang dinyatakan dengan
jelas bahawa sidang Parlimen ditiadakan, ia sangat jelas. Dalam tempoh
darurat, peruntukan berhubung memanggil, prorog, membubarkan dalam
Perlembagaan ini tidak mempunyai kesan.
“Apabila perkara ini dilaksanakan, kenyataan dibuat Istana Negara itu adalah
menjelaskan perkara ini, bahawa tidak ada persidangan Parlimen. Namun,
mana-mana mesyuarat Parlimen, sesi Parlimen yang hendak dipanggil mestilah
berikutan keputusan Jemaah Menteri. Sekarang ini Jemaah Menteri menasihati
Agong bahawa tidak ada sidang Parlimen. Itulah keadaan sekarang ini,” katanya.
Sebelum ini, Istana Negara memaklumkan Agong berpandangan Parlimen boleh
bersidang semasa tempoh darurat, pada suatu tarikh difikirkan sesuai olehnya
atas nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Indera Ahmad Fadil Shamsuddin
dalam kenyataan berkata, keputusan Agong itu dibuat selepas menerima menghadap
Presiden Dewan Negara Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun
di Istana Negara pada 24 Feb lalu.
Alasan tangguh Parlimen
Takiyuddin berkata, antara “alasan” bagi menangguhkan persidangan Parlimen
dari aspek perundangan adalah, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas
menyatakan ketika tempoh darurat, Agong boleh membuat ordinan.
“Jadi bila Agong sudah boleh buat undang-undang, maka keperluan untuk Parlimen
bersidang dan buat undang-undang itu tidak ada. Kedua, kita melihat tumpuan
dan fokus kerajaan sekarang ini adalah untuk perangi Covid-19, termasuk Ahli
Parlimen itu sendiri, mereka juga petugas barisan hadapan,” katanya.
Beliau berkata, ia bukan kali pertama persidangan Parlimen ditangguhkan ketika
tempoh darurat memandangkan ia pernah ditangguhkan untuk tempoh dua tahun pada
1969 hingga 1971.
Katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja mahu membendung
penularan wabak Covid-19 dalam kalangan rakyat, sebaliknya turut melindungi
220 Ahli Parlimen.
“Saya hendak nyatakan di Parlimen kita sekarang ini, ini fakta. Di Parlimen
Malaysia sekarang ini ada 220 Ahli Parlimen, daripada 220 orang ini, seramai
77 orang Ahli Parlimen adalah individu berumur 61 tahun hingga 69 tahun.
“Daripada 70 tahun hingga 79 tahun pula ada 19 orang, manakala daripada usia
80 tahun ke atas ada seramai empat orang. Jadi, hampir sebahagian Ahli
Parlimen kita termasuk dalam kumpulan berisiko. Kita tidak mahu Ahli Parlimen
terdedah dengan wabak ini,” katanya.
Takiyuddin berkata, disebabkan itu tidak timbul soal kerajaan PN menggantung
Parlimen kerana ia akan kembali bersidang selepas tempoh darurat tamat,
sehingga 1 Ogos depan.
Setelah tempoh lebih seminggu, kerajaan PN akhirnya menjawab titah Yang di-Pertuan Agong yang sudah beri perkenan...
Posted by Najib Razak on Tuesday, 2 March 2021
Join our Telegram Channel