Aktivis dan pereka bentuk bebas Fahmi Reza ditahan polis di rumahnya petang
tadi.
Peguam Fahmi, Yohendra Nadarajan, berkata tangkapan dibuat kira-kira jam 7
petang dan dia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Setakat jam 9 malam ini, Fahmi masih disoal siasat dan akan bermalam di lokap
IPD Dang Wangi.
"Permohonan reman akan dibuat di IPD Dang Wangi jam 10 pagi esok," kata
Yohendra ketika dihubungi Malaysiakini.
Menurut peguam terbabit Fahmi tangkapan ke atas Fahmi dibuat ada kaitan dengan
hantaran dibuat aktivis terbabit mengenai Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah
Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Difahamkan selain disiasat mengikut Akta Hasutan, Fahmi juga berdepan dengan
peruntukan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Yohendra berkata tujuh anggota polis pergi di rumah Fahmi untuk membuat
tangkapan berkenaan.
"Apabila saya sampai, polis memecahkan pintu rumah untuk menangkap Fahmi,"
katanya.
Menurut Yohendra polis memecahkan pintu rumah tersebut selepas Fahmi enggan
membukanya kerana mahu menunggu peguam sampai terlebih dulu.
Memang sering menarik perhatian ramai dengan siri rekaan satira serta kritikal
terhadap kerajaan serta ahli politik, Fahmi baru-baru ini menghasilkan karya
dalam isu sohor kini #DengkiKe.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah ketika
dihubungi Malaysiakini mengesahkan tangkapan ke atas Fahmi.
Dia juga berkata setakat ini Fahmi ditahan di IPD Dang Wangi namun siasatan
dijalankan oleh pegawai Bukit Aman.
Sementara itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed
berkata dia tidak mendapat maklumat mengenai kerosakan pintu rumah Fahmi yang
didakwa dilakukan anggota polis.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel