Ipoh: Replika papan kayu berbentuk capal (kasut) yang menghiasi bahagian
mihrab di sebuah surau di Perak yang tular di media sosial baru-baru ini,
disaran supaya dialihkan ke suatu ruang yang lebih munasabah dan bersesuaian.
Bahagian Fatwa Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNP) dalam satu kenyataan berkata,
pihak surau atau madrasah berkenaan perlu peka dengan persekitaran semasa dan
telahan masyarakat awam dengan menutup pintu-pintu fitnah serta menolak
perkara yang boleh membawa kepada unsur pemujaan.
"Ini bersesuaian dengan konsep sad al'zariah dengan maksud menutup
pintu-pintu atau jalan-jalan yang boleh membawa kepada perkara yang
diharamkan.
"Dalam masa yang sama, netizen dan orang ramai dinasihatkan agar menjauhi
perbuatan melabel sesuatu pihak dengan label yang melampau seperti
kafir, fasiq dan sebagainya tanpa melakukan proses
tabayyun terlebih dahulu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari
ini.
Menurut kenyataan itu, siasatan awal mendapati simbol itu diletakkan di
bahagian mihrab setahun yang lalu dan perbuatan itu diakui pihak pengurusan
madrasah atau surau berkenaan sebagai hanya sekadar untuk hiasan.
"JMNP setelah meneliti dengan penuh hemat dan saksama bahawa hasrat mereka
yang terlibat adalah untuk menzahirkan kecintaan kepada Baginda Nabi Muhammad
SAW. Namun, perbuatan ini telah menimbulkan pelbagai andaian sehingga
pernyataan yang tidak wajar terhadap urusan agama yang suci ini," katanya.
Menurut kenyataan itu, isu capal berkenaan mempunyai kaitan dengan tabarruk
iaitu mengambil keberkatan terhadap sesuatu yang terkait dengan peninggalan
Nabi Muhammad SAW.
"Hukum tabarruk dengan kesan-kesan Nabi memang dibolehkan dalam Islam
berdasarkan hadis-hadis yang sahih, tetapi ia adalah kesan langsung dari
peninggalan Nabi seperti capal, bekas minuman, rambut Nabi dan sebagainya,
adapun replika ia bukan lagi disebut 'athar al-nabiy'.
"Kecintaan kepada Nabi dan insan yang soleh di sisi Allah boleh dizahirkan
dengan pelbagai cara dan pendekatan yang sewajarnya dan hendaklah menjauhi
dari membuka ruang kepada perkara yang boleh membawa kepada
bid'ah, tahyul, khurafat dan sebagainya yang jauh dari ajaran syarak,"
katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel