Dua lelaki terdiri daripada majikan, Chung Chee Yang dan pembantu peribadinya,
Choo Hin Voon, yang masing-masing menghadapi lima dan dua pertuduhan berkaitan
kes pukul dua pengawal peribadi, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret
Klang hari ini.
Chung dan Choo, masing-masing berusia 43 tahun, memohon dibicarakan selepas
pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret P Sarulatha.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di halaman rumah di Bukit Tinggi di
sini antara 10.30 malam dan 11.30 malam pada 13 April lepas.
Bagi pertuduhan pertama, Chung didakwa melakukan ugutan jenayah dengan
mengacukan pistol ke arah pengawal peribadinya, Mohd Azminizam Zulkepli, 44,
dan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum
penjara untuk tempoh sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan
kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Chung didakwa bersubahat dengan Choo,
mengarahkannya untuk sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Ahmad Shamsuri
Zailani, 27, dan Mohd Azminizam, dengan menggunakan sebatang rotan.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 109 KK dibaca bersama dengan
Seksyen 324 KK yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda
atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.
Untuk pertuduhan keempat, Chung juga didakwa mengeluarkan perkataan yang
menyinggung perasaan mangsa mengenai agama yang dianuti mangsa dan didakwa
mengikut Seksyen 298 KK dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa
hukuman penjara satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Pertuduhan kelima, Chung didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas
Mohd Azminizam yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 KK iaitu penjara satu
tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, pembantu peribadinya, Choo menghadapi dua pertuduhan iaitu
didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam dan Ahmad Shamsuri
menggunakan rotan.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 KK yang boleh dihukum
sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua
hukuman tersebut.
Sarulatha membenarkan Chung diikat jamin RM50,000 manakala Choo, RM20,000
masing-masing dengan seorang penjamin.
Mereka juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri sebulan
sekali di Balai Polis dan menetapkan 23 Jun sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ashyraf Ashy'ari
Kamaruzaman manakala Chung diwakili peguam Abdul Hakeem Aiman dan peguam Loi
Yap Loong mewakili Choo.
Media sebelum ini melaporkan dua pengawal peribadi cedera selepas dirotan dan
diugut bunuh menggunakan pistol oleh majikan dipercayai akibat perselisihan
faham berkaitan puasa. – Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:
- Lelaki dipukul, diugut bunuh majikan kerana puasa, U mahu ikut Allah atau ikut saya
- Empat lelaki pukul pengawal peribadi kerana puasa direman
- Kegiatan haram majikan terbongkar selepas pukul, ugut bunuh bodyguard kerana puasa
- Ugutan Yusuf Azmi isytihar perang, kepung Klang boleh diambil tindakan, kata polis
- Majikan pukul pekerja puasa mohon maaf pada umat Islam, Agong
- Majikan mengaku tak salah pukul pekerja puasa
Join our Telegram Channel