Sesiapa pun tidak wajar memalukan seseorang dengan memeriksa bahagian sulit
individu tersebut meskipun dengan apa-apa alasan sekalipun, kata Mufti Pulau
Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor.
Wan Salim berkata demikian bagi mengulas tindakan pihak sekolah melakukan
"pemeriksaan datang bulan" terhadap pelajar perempuan bagi mengelakkan mereka
ponteng waktu solat.
Menurut Wan Salim, setiap orang mempunyai maruah diri yang wajib dihormati
oleh orang lain, termasuklah hak menutup bahagian-bahagian sulit tubuh mereka
daripada dilihat oleh orang lain.
“Agama Islam melarang keras umatnya melihat aurat orang lain walaupun dengan
alasan untuk melaksanakan kewajipan yang dituntut seperti untuk menghalang
seorang pelajar perempuan daripada berdalih untuk meninggalkan kewajipan
solat,” katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu, NGO berkaitan hak wanita All Women’s Action Society (Awam),
Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (Women:girls) dan Sisters In
Islam (SIS) dalam kenyataan bersama mengecam tindakan pihak sekolah berasrama
yang melakukan pemeriksaan haid terhadap pelajar yang mengakui diri mereka
sedang datang haid.
Pemeriksaan tersebut melibatkan sentuhan fizikal di bahagian sulit pelajar
perempuan bagi membuktikan bahawa pelajar perempuan tersebut benar-benar
datang haid dan tidak ponteng sesi waktu solat.
Mengulas lanjut isu tersebut, Wan Salim berkata Islam sememangnya mewajibkan
setiap penganutnya mendirikan solat lima waktu tetapi ia tidak bererti ia
membenarkan kanak-kanak diperlakukan sedemikian rupa.
“Islam juga memerintahkan ibu bapa atau waris kanak-kanak membiasakan mereka
menunaikan kewajipan ini sejak kecil lagi.
“Malah ibu bapa dan waris disarankan memukul secara lembut kanak-kanak yang
malas menunaikan solat.
“Tetapi ini tidak bererti Islam membenarkan kanak-kanak diperlakukan dengan
tindakan-tindakan yang boleh memalukan mereka seperti memeriksa bahagian sulit
mereka untuk memastikan sama ada mereka kedatangan haid atau tidak,” katanya.
Katanya, perbuatan sedemikian adalah haram menurut hukum Islam kerana dianggap
menceroboh kehormatan seseorang.
Malah katanya, terdapat banyak cara untuk memastikan seseorang gadis atau
pelajar perempuan itu sedang didatangi haid, seperti bertanya kepada ibu bapa
atau rakan mereka.
“Aurat seorang wanita Islam adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan telapak
tangan. Setiap wanita Islam yang berakal dan sampai umur baligh adalah
diwajibkan menutup aurat masing-masing.
“Tiada siapapun dibenarkan melihat aurat seorang perempuan selain suaminya
yang sah,” jelasnya.
Jangan sulitkan keadaan
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim) Dr
Ahmad Shukri Ismail pula melihat perbuatan memeriksa di bahagian sulit kerana
untuk mengelakkan pelajar ponteng solat adalah keterlaluan.
“Memadailah dengan pengakuan dari individu terlibat dan tak perlulah sampai
nak periksa tuala wanita.
“Dalam Islam tidak ada unsur paksaan dan Islam itu mudah. Jangan kita sulitkan
keadaan sehingga membuatkan orang melihat Islam terlalu rijid,” katanya kepada
Malaysiakini.
Ahmad Shukri yang turut sependapat dengan Wan Salim berkata sekiranya ibu bapa
telah mendidik anak untuk bercakap benar dan ada rasa tanggungjawab serta
mengajar mereka untuk bersolat sudah memadai.
Tambahnya, dia yakin mereka yang berbohong mengenai didatangi haid itu
hanyalah segelintir tetapi berpendapat ia tidak perlu diperbesarkan kerana
pihak sekolah boleh mendapatkan kepastian dengan cara lain.
“Mungkin terjadi satu atau dua kes tak perlu diperbesarkan dan melalui rakan
mungkin kita boleh dapat kepastian. Dan penguatkuasaan adalah cara terakhir,
seeloknya kaunseling dan ulang kaji fadhilat solat dan hukum meninggalkan
solat.
“Tindakan pihak berwajib di sekolah perlulah berhemah,” katanya.
Isu tersebut muncul selepas pengguna di Twitter mendedahkan bahawa terdapat
guru-guru wanita meraba tubuh badan mereka untuk melihat sama mereka membawa
barangan terlarang ke sekolah seperti memakai barang kemas, membawa telefon
bimbit.
Menurut mereka, kadang kala mereka disuruh menanggalkan coli mereka kerana
bagi memastikan ia tidak disembunyikan di situ.
Ada di antara mereka yang mendakwa bahawa payudara mereka diraba oleh
guru-guru wanita sebagai sebahagian daripada pemeriksaan berikutan aduan
daripada rakan mereka kerana memakai “training bra.”
Malah, pelajar juga pernah ditampar kerana mempunyai kuku yang panjang atau
enggan untuk terlibat dalam cara pemakaian tudung dan dirotan kerana tidak
memakai seluar pendek dalam baju kurung.
Menurut kenyataan gabungan tiga NGO tersebut, selain pemeriksaan haid terdapat
pemeriksaan lain seperti memeriksa sama ada pelajar tersebut membawa barangan
terlarang ke sekolah, memalukan mereka di khalayak ramai dari segi pemakaian
dan hubungan intim dengan seseorang.
Insiden tersebut antara perkara yang dialami oleh pelajar di sekolah di
Malaysia sehingga ia mendapat perhatian baru-baru ini.
Kenyataan bersama tersebut turut menggesa supaya Kementerian Pelajaran dan
Majlis Amanah Rakyat (Mara) meneliti isu itu dengan berkesan.
Katanya ia melanggar autonomi peribadi seseorang serta memalukan melalui
alasan hukuman tatatertib tetapi bersekat dengan gangguan dan penyalahgunaan
kuasa.
“Kejadian yang dilaporkan itu turut melibatkan guru agama (ustazah dan ustaz)
yang mengarahkan pelajar perempuan menyapu tisu atau kapas pada bahagian alat
sulit mereka untuk menunjukkan bukti darah atau menanggalkan seluar dalam
mereka untuk menunjukkan tuala wanita mereka sebagai bukti bahawa mereka
sedang didatangi haid.
“Ini kerana ustazah tersebut menganggap bahawa haid digunakan sebagai alasan
untuk mereka meninggalkan solat.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel