PETALING JAYA: Umno akan menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan
Nasional (PN) selewat-lewatnya Ogos, sekalipun Parlimen tidak dibubarkan
ketika itu untuk PRU15, kata Pengarah Pilihan Raya Umno, Tajuddin Abdul
Rahman.
Beliau yakin penarikan balik sokongan itu akan menyebabkan kerajaan PN
pimpinan Muhyiddin Yassin tumbang.
“Bila pembubaran kita tak tahu. Tetapi, Perhimpunan Agung Umno (PAU) telah
tetapkan tidak lewat dari Ogos. Bermakna Ogos – sekiranya tak ada pembubaran
dibuat oleh perdana menteri – kita akan menarik balik sokongan (kepada
kerajaan),” kata Tajuddin.
“Menteri, timbalan, pengerusi GLC, akan (juga) tarik sokongan. Bila tarik
sokongan, tidak ada jalan untuk kerajaan yang sedia ada boleh bertahan,” kata
Ahli Parlimen Pasir Salak itu dalam wawancara dengan FMT.
Umno merangkumi blok Ahli Parlimen terbesar dalam kerajaan PN dan penarikan
balik sokongan parti itu akan menjejaskan keabsahan Muhyiddin dan kerajaannya
yang menerajui Putrajaya sejak Mac 2020.
Tajuddin berkata beliau sendiri tidak keberatan untuk melepaskan jawatan
sebagai pengerusi Prasarana, apabila tiba masanya.
“Saya ikut keputusan perhimpunan agung. Saya akan berada di sana (Prasarana)
sehingga pembubaran Parlimen. Jika esok, atau bulan depan keputusan diumumkan
untuk bubar Parlimen, saya akan keluar daripada Prasarana, Tiada masalah,”
kata beliau.
Pada wawancara itu, Tajuddin menghuraikan “pengkhianatan” PPBM, selaku tunjang
PN, terhadap Umno yang membawa kepada perpecahan kerjasama antara dua parti
itu.
Beliau berkata PPBM sekian lama menfitnah Umno dengan pelbagai tuduhan melulu.
“Mereka mengutuk Umno. Tak ada had. (Mereka dakwa) Umno sudah masuk longkang,
Umno ini rasuah semua. Tiada (yang) baik langsung,” namun hakikatnya
pembangunan negara yang dikecapi selama ini hasil kepimpinan kerajaan BN yang
dipimpin Umno.
“Lihat kemajuan negara sekarang ini. Dua puloh tahun 30 tahun dulu macam ini
ke? Mana ada semua ini. Kuala Lumpur hari ini bandar raya bertaraf
antarabangsa,” kata Tajuddin.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini berkata Majlis Kerja Tertinggi
Umno diberikan mandat oleh PAU untuk menentukan bila parti itu akan menarik
balik sokongan terhadap kerajaan PN.
Bagaimanapun beberapa Ahli Parlimen parti itu sudah pun berbuat demikian,
termasuk veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) dan Nazri Aziz
(Padang Rengas).
Kelmarin, beberapa pemimpin Umno turut melepaskan jawatan di GLC termasuk
Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman, yang berundur sebagai
pengerusi Kesedar Kilang Sdn Bhd sebagai menyahut usul PAU.
Join our Telegram Channel