Amalan memeriksa pelajar perempuan secara fizikal untuk membuktikan mereka
datang bulan dikatakan berlaku sejak 20 tahun lalu, menurut pelajar dan bekas
pelajar di beberapa buah sekolah.
Perbuatan yang dilakukan para guru, warden asrama dan pengawas itu antara lain
meminta pelajar menunjukkan kesan darah pada tuala wanita, melakukan calitan
pada kemaluan dengan kapas, tisu atau jari mereka untuk membuktikan mereka
tidak boleh bersolat jemaah kerana mengalami haid.
Malah pelajar juga diraba di bahagian alat sulit untuk mengetahui sama ada
mereka memakai tuala wanita.
Sekumpulan individu bercakap kepada Malaysiakini bagi menceritakan pengalaman
mereka di sekolah berasrama yang dianggap "memalukan".
Malaysiakini dimaklumkan bahawa amalan seumpama ini kebanyakannya berlaku di
sekolah berasrama penuh namun ada juga kes yang terjadi di sekolah harian dan
sekolah agama persendirian.
Sekumpulan individu menghubungi Malaysiakini untuk berkongsi cerita mereka
selepas isu itu dibangkitkan seorang pengguna Twitter yang bertanya mengenai
apakah amalan tersebut masih berlaku di sekolah.
Bebenang Twitter yang berkongsikan kisah-kisah ini dikongsikan lebih daripada
6,000 kali. Mereka tampil mengatakan bahawa mereka ingin melihat amalan
memalukan itu dihentikan.
Semua nama telah diubah untuk melindungi identiti mereka yang terlibat.
'Kami diraba dari belakang'
Siti N *, seorang pelajar di sekolah agama persendirian menceritakan bahawa
dari Isnin hingga Khamis, pelajar diwajibkan bersolat jemaah, manakala pelajar
yang datang bulan ditempatkan di sebuah bilik di mana kitaran haid mereka
dicatat dalam buku rekod.
"Kadang-kadang, mereka akan beri kami sehelai kertas atau tisu, minta kami ke
tandas dan tunjukkan darah haid kami," katanya melalui WhatsApp.
"Saya ingat pada satu ketika, mereka minta kami berkumpul di padang bola.
“Guru dan pengawas mesti periksa seluar dalam kami satu persatu dengan meraba
belakang kami. Ia agak mengaibkan dan saya merasa sangat menjijikkan, ”kata
Siti yang kini menuntut di universiti.
Pada usia 13 tahun, Adriana berkata dia memasuki sekolah asrama, namun
pengetahuan yang sedikit mengenai kitaran haid menyebabkan dia tidak dapat
membezakan antara keputihan normal dan darah haid.
Adriana berkata pada satu malam dia duduk di bilik prep semasa solat berjemaah
sebelum ditangkap ketika pemeriksaan mengejut. Apabila diperiksa, dia tiada
tanda-tanda mengalami pendarahan.
“Senior yang bertanggungjawab menyangka saya berbohong dan memaki saya,
bersama dengan senior lain.
"Saya trauma dan sejak itu, saya akan gunakan semula tuala wanita yang sama
sepanjang hari untuk memastikan ada darah.
"Bila diingat semula, sangat menjijikkan sebab saya kena gunakan tuala wanita
yang ada darah sejak hari itu, hanya untuk buktikan yang saya dalam haid,"
kata Adriana, yang kini berusia 21 tahun.
Sindiran lucah oleh guru
DH pula tidak pernah menceritakan mengenai kejadian di sekolah rendah dan
sekolah menengah ketika bersekolah di dua sekolah perempuan di Kelantan.
Katanya, solat Zohor berjemaah diwajibkan bagi semua pelajar dan mereka akan
menjalani pemeriksaan mengejut secara rawak.
"Jika ustazah yang bertugas, lebih baik kita lari dan sembunyi, jika tidak,
dia akan heret kita ke tandas dan buatkan kita 'menyapu darah kita' di tisu.
"Kalau ada yang pakai tampon, dia akan malukan mereka, dengan tanya gatal
sangat nak masuk k**e? Kata-kata tu menyebabkan saya tidak menggunakan tampon
sehingga berusia 20-an,” katanya yang menyokong Pendidikan Seks diajarkan di
sekolah.
Haid tak teratur dicurigai
Ash** berkata insiden itu adalah rutin yang berlaku di sekolah berasrama penuh
di Selatan tanah air, di mana mereka dari 'skuad agama' mensasarkan pelajar
perempuan yang duduk di luar surau sekolah.
"Kami akan beratur di luar tandas, tunggu giliran dan satu atau dua orang
anggota 'skuad' akan periksa bahagian vagina. Selalu hanya melalui kain kami,
tapi itu pun rasa sangat pelik,” katanya.
Kata Ash, dia mengalami haid yang tidak teratur dan perkara itu menyebabkan
dia dicurigai.
“Kadang-kadang mereka panggil saya keluar, empat atau lima daripada mereka
akan kerumun saya dan mereka malah mengugut akan paksa saya tanggalkan seluar
dalam saya,” kata Ash yang meninggalkan sekolah asrama itu pada usia 16 tahun
untuk masuk ke sekolah biasa.
Faekah *** berada di tingkatan 1 di sebuah sekolah asrama apabila dia
diperiksa untuk mengetahui sama ada dia datang haid atau tidak.
“Saya tidak tahu banyak tentang haid ketika tu dan jika ada keputihan saya
juga akan anggap itu adalah haid. Jadi satu hari seluar dalam saya keluar
cairan dan sebab itu saya ke bilik prep.
"Tapi bila malam ketika spot check, saya tiada sebarang keputihan dan senior
ingat saya berbohong.
“Sejak saat itu, kalau saya datang haid sepanjang hari, saya akan gunakan
kembali tuala wanita yang sama untuk lulus spot check waktu malam
"Tapi bila dilihat semula, itu sangat menjijikkan sebab saya perlu gunakan
tuala wanita sama yang ada darah pada siang hari hanya untuk menyenangkan
mereka dan untuk benar-benar buktikan bahawa saya sedang haid,” tambahnya.
Amalan itu masih berlaku
Sekurang-kurangnya dua pelajar yang bercakap dengan Malaysiakini, mengatakan
amalan itu masih berlaku sehingga ke hari ini.
Bee** yang bersekolah di sekolah yang sama dengan Ash berkata 'calitan haid'
untuk buktikan mereka tidak boleh bersolat masih berlaku, malah mereka
dikenakan hukuman yang menjijikkan.
"Ramai daripada kami, ketika masih junior dipaksa meramas tuala wanita yang
berlumuran darah kerana disyaki kami tidak membuangnya dengan betul.
“Itu masih menghantui fikiran saya sampai sekarang,” katanya yang mengatakan
ramai pelajar bimbang untuk bercakap mengenai perkara itu.
Selain perlecehan fizikal, Jana yang merupakan seorang lagi pelajar
menceritakan tentang kata-kata seorang guru kepada mereka yang mengelak untuk
melakukan 'ujian datang bulan'.
“Yang selalu datang haid dan tidak datang (spot check) pasti mengandung,” kata
seorang warden di sekolah, menurut Jana.
“Waktu itu kami baru berada di Tingkatan 1 dan kata-katanya sangat
menyakitkan," katanya.
Pakar obstetrik dan ginekologi dan Pendidikan Perubatan (Pengajaran Klinikal)
dari Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM, Dr Harlina
Halizah Siraj berkata tindakan sedemikian mengganggu privasi wanita.
"Sebagai pakar obstetrik dan pakar sakit puan, saya percaya seorang perempuan
muda tidak harus membuktikan yang dia mengalaminya (kedatangan haid)," kata Dr
Harlina kepada Malaysiakini.
Sementara itu, Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR
Fadhlina Sidek berkata dia menentang keras perbuatan memalukan seumpama itu.
"Tindakan meraba-raba anak gadis untuk pastikan sama ada mereka sedang haid
atau tidak adalah gangguan seksual, manakala tindakan meminta mereka
menunjukkan tuala wanita berdarah sebagai bukti haid adalah satu kesalahan
membuli, mengaibkan dan mengganggu emosi gadis-gadis ini," katanya.
Reaksi pertubuhan wanita
Mengulas isu itu, All Women Action Society (AWAM), Sisters In Islam (SIS) dan
Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (WOMEN: Girls) menuntut
Kementerian Pendidikan (KPM) menangani isu gangguan seksual, perlecehan
fizikal dan kecam badan (body shaming).
Katanya, perbuatan itu dilakukan dengan alasan tindakan disiplin terhadap
pelajar, namun sebenarnya merupakan gangguan dan salahguna kuasa.
"Pemeriksaaan mengejut datang bulan; Pemeriksaan mengejut secara fizikal untuk
'barang terlarang'; badan, pakaian dan hubungan intim yang memalukan di
khalayak ramai; pengantunan kanak-kanak (child grooming); cabul, menampar dan
mencubit puting buah dada sebagai hukuman adalah beberapa kejadian pelanggaran
yang dialami oleh pelajar di sekolah-sekolah di Malaysia yang mendapat
perhatian orang ramai baru-baru ini,"kata kumpulan wanita itu dalam satu
kenyataan bersama.
Mereka menyebut insiden tersebut dilaporkan berlaku di institusi pendidikan -
tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah berasrama dan universiti.
"Di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan
perbuatan mengganggu kesantunan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, kes-kes
ini boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah dan boleh dihukum oleh
undang-undang.
"Dengan melakukan tindakan tersebut atau membiarkan tindakan tersebut
dilakukan oleh guru / warden / pengetua, pihak berkuasa sekolah di Malaysia
mengajar semua pelajar adalah OK untuk mencabul tubuh badan orang lain tanpa
persetujuan mereka dan memperlakukan mereka tanpa rasa hormat atau maruah,"
kata kumpulan itu.
Sementara itu, bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching berkata setakat
ini tidak jelas sama ada terdapat garis panduan kementerian yang secara khusus
menjelaskan mengenai kaedah bagi menentukan sama ada seseorang pelajar
perempuan mengalami haid atau sebaliknya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel