KUALA LUMPUR – Bagi meningkatkan tabungan dana dan aset wakaf negara,
satu inisiatif perlu dirangka di peringkat kerajaan persekutuan untuk
menggalakkan penjawat awam berwakaf khususnya secara berkala melalui potongan
gaji, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, tindakan itu antara empat perkara utama yang
digariskan bagi memastikan instrumen wakaf dapat memainkan peranan penting
dalam membantu ekonomi negara.
Untuk itu, beliau mahu semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan
serta agensi peringkat persekutuan memainkan peranan dalam menggalakkan
pegawai dan kakitangan mereka berwakaf.
Katanya, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali telah meluluskan
Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 2020 Tatacara Pelaksanaan Sumbangan Wakaf Tunai
Melalui Potongan Gaji Secara Sukarela Bagi Pegawai Awam yang berkhidmat di
Wilayah Persekutuan dan negeri.
“Begitu juga dengan institusi-institusi perbankan dan kewangan dalam membantu
mempelbagaikan lagi platform berwakaf.
Institusi-institusi kewangan Islam seharusnya menjadikan wakaf sebagai elemen
yang menjadi nilai tambah kepada produk dan perkhidmatan kewangan mereka,”
katanya dalam ucapan bersempena pelancaran bulan Ramadan sebagai Bulan Wakaf
Kebangsaan yang disiarkan melalui akaun Facebook rasminya pada Selasa.
Selain itu, Muhyiddin berkata, pembangunan hartanah wakaf juga perlu dijadikan
satu elemen penting dalam penyediaan pelan pembangunan setiap Rancangan
Malaysia.
Dalam konteks itu, katanya, syarikat berkaitan kerajaan, syarikat pelaburan
berkaitan kerajaan dan badan korporat bersama-sama Jabatan Wakaf, Zakat dan
Haji (JAWHAR), Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan majlis agama Islam negeri
perlu mengenal pasti ruang dan peluang kerjasama yang boleh dijalinkan bagi
mengoptimumkan penggunaan dan pembangunan aset-aset wakaf.
Perdana menteri turut mahu satu pelan pembudayaan wakaf yang holistik dan
komprehensif dirangka di peringkat nasional dan negeri bagi mewujudkan
masyarakat yang lebih celik wakaf.
Katanya, YWM perlu diperkasakan sama ada dalam bentuk suntikan dana atau
pertambahan bakat supaya ia benar-benar dapat menjadi teladan pentadbiran
wakaf yang terkedepan di peringkat antarabangsa.
“Saya berharap melalui peranan institusi-institusi berkaitan wakaf di
Malaysia, kita boleh menawarkan kepakaran serta model amalan terbaik kepada
negara-negara Islam yang lain dalam usaha mengembalikan kegemilangan wakaf,”
katanya.
Perdana menteri berkata kerajaan persekutuan melalui JAWHAR dan YWM akan terus
komited untuk bekerjasama dengan majlis agama Islam negeri-negeri agar
instrumen wakaf dapat berperanan aktif dan efektif untuk membangunkan taraf
sosioekonomi ummah.
Mengenai pelancaran bulan Ramadan sebagai Bulan Wakaf Kebangsaan, Muhyiddin
berkata ia dilaksanakan bagi memastikan masyarakat dapat memberikan tumpuan
khusus kepada kehebatan wakaf. “Ini bukanlah bermaksud untuk berwakaf perlu
menunggu Ramadan tetapi kita akan merancakkan lagi aktiviti wakaf pada bulan
ini ke seluruh pelusuk Malaysia.
“Semoga setiap aktiviti yang dirancang sepanjang Bulan Wakaf Kebangsaan Tahun
2021 ini akan dapat memenuhi hasrat amal jariah pewakaf dan beroleh ganjaran
serta rahmat Ilahi,” katanya.
Perdana Menteri turut menyentuh mengenai Dana Kenanga Waqf Al-Ihsan iaitu unit
amanah yang dilancarkan hasil kerjasama Kenanga Investors Berhad dan YWM serta
kerjasama kedua di antara YWM dan Bank Rakyat.
Muhyiddin berkata menerusi kerjasama dalam meningkatkan tabungan dana wakaf,
Bank Rakyat telah memberi komitmen untuk menyumbangkan dana wakaf sebanyak RM1
juta sebagai geran padanan. "Bagi setiap ringgit disumbangkan pewakaf individu
ke platform disediakan Bank Rakyat.
Join our Telegram Channel