ARAU : Perang mulut antara Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Tajuddin
Abdul Rahman memasuki episod baharu apabila Shahidan mendakwa Ahli Majlis
Kerja Tertinggi UMNO itu pernah cuba membuat gerakan menjatuhkan Presiden
UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tahun lalu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu berkata, meskipun digelar dengan
pelbagai ungkapan tidak baik oleh Tajuddin, namun, beliau tidak pernah
sesekali cuba melakukan gerakan menjatuhkan Presiden sebagaimana dilakukan
Ahli Parlimen Pasir Salak itu.
Malah, beliau juga menunggu respons Pengarah Pilihan Raya UMNO itu bagi
menafikan perkara tersebut.
“Dahulu dia (Tajuddin) pernah usaha untuk jatuhkan Presiden, saya tidak pernah
meskipun dilabel macam-macam. Saya tunggu beliau (Tajuddin) jawab, kemudian
saya akan respons lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari
ini.
Terdahulu, memetik laporan sebuah portal berita, Shahidan dilaporkan berkata,
Tajuddin cuba membuat gerakan menjatuhkan Ahmad Zahid sebagai presiden parti
pada tahun lalu menerusi langkah mengumpul tandatangan lebih 80 Ketua UMNO
Bahagian untuk menggugat jawatan Ahmad Zahid.
Dakwa Shahidan, Tajuddin mengumpul tandatangan itu bermula tahun lalu sebelum
dilantik sebagai pengarah pilihan raya.
Malah, Ahli Parlimen Arau itu mendakwa, pertemuan tersebut berlaku sebelum
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Tajuddin bertindak sedemikian kerana tidak
puas hati kerana tidak diberi jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN),
dan menganggap Ahmad Zahid sebagai presiden yang lemah.
Bagaimanapun dakwa Shahidan, usaha menjatuhkan Ahmad Zahid itu mungkin
terhenti setelah Tajuddin dilantik menjadi pengarah pilihan raya UMNO.
Sementara itu, Shahidan berkata, disebalik pelbagai kecaman yang diterima,
beliau antara pemimpin yang cukup lantang mempertahankan Presiden sejak
dahulu.
Terdahulu, Shahidan dan Tajuddin dilihat
berbalas serangan
berhubung isu kerjasama UMNO dan Bersatu dalam pilihan raya akan datang.
Bermula dengan Tajuddin yang menyifatkan kenyataan Shahidan bahawa keputusan
untuk keluar daripada kerajaan PN terletak di tangan setiap Ahli Parlimen dan
bukan Majlis Tertinggi (MT) sebagai bodoh.
Join our Telegram Channel