PETALING JAYA: Shahidan Kassim disingkirkan daripada jawatan Ketua Umno
Perlis, berkuatkuasa hari ini.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan Shahidan akan digantikan oleh
Menteri Besar Perlis, Azlan Man.
“Pertukaran ini berkuatkuasa hari ini. Dirakamkan ucapan jutaan terima kasih
kepada Shahidan Kassim atas khidmat sepanjang tempoh perkhidmatan beliau,”
katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Shahidan yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen PN (PNBBC),
menolak sebarang usaha untuk Barisan Nasional (BN) meninggalkan kerajaan PN
yang berusaha sedaya upaya memulihkan ekonomi negara ketika penularan
Covid-19.
Beliau berkata, pertukaran kerajaan tidak akan dapat membantu memulihkan
ekonomi negara, sebaliknya lebih banyak masa diperlukan untuk berbuat
demikian.
Katanya, langkah terbaik sekarang ialah Umno bekerjasama dengan Bersatu, PAS
dan GPS.
Pada 8 April lalu, Shahidan membuat laporan polis kerana namanya disebut dalam
suatu rakaman yang dikatakan perbualan antara Zahid dan Presiden PKR, Anwar
Ibrahim.
Beliau turut meminta pihak lain melaporkan kepada polis supaya kesahihan
rakaman itu disiasat.
Zahid dan Anwar nafi perbualan itu, yang dikatakan berlaku selepas Perhimpunan
Agung Umno 2020, Mac lalu.
Ketika dihubungi oleh FMT dan diminta mengulas penyingkirannya daripada
jawatan itu, Shahidan memaklumkan dia tidak tahu-menahu berhubung perkara
berkenaan.
“Saya belum tengok (berita). Belum tahu lagi,” katanya.
Sementara itu, Azlan memaklumkan beliau sedia memikul amanah
dipertanggungjawabkan dengan sebaik-sebaiknya.
“Terima kasih kepada presiden yang memberi kepercayaan kepada saya mengetuai
Umno Perlis khususnya dalam menghadapi pilihan raya tidak lama lagi,” katanya
kepada Utusan Malaysia.
Susulan itu, Azlan akan mengadakan mesyuarat dengan jawatankuasa perhubungan
negeri serta tiga bahagian Umno Perlis dalam tempoh terdekat.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel