PETALING JAYA: Suatu tangkap layar dikatakan mengandungi “permintaan” kepada
kakitangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) termasuk jabatan dan
agensi supaya “like” dan mengikuti akaun media sosial menterinya, Saifuddin
Abdullah, tular di media sosial.
Kakitangan juga dikatakan diminta untuk mengikuti akaun media sosial timbalan
Saifuddin, Zahidi Zainul Abidin, dan juga akaun media sosial KKMM, menurut
laporan media.
Dalam tangkap layar itu, yang disiarkan laman Malaysia Dateline, permintaan
itu dibuat oleh suatu Unit Komunikasi Korporat yang “dipertanggungjawabkan
untuk melaksanakan pemantauan aktiviti ‘Like’ dan Follow’ akaun media sosial
KKMM”.
FMT sedang mengesahkan perkara ini dengan pihak KKMM.
Sementara itu, sumber dalam kementerian itu memberitahu FMT bahawa permintaan
itu dikeluarkan kira-kira sebulan lalu.
Menurutnya, banyak kakitangan “marah dan bingung” dengan permintaan itu.
Dalam pada itu, sumber di sebuah badan bawah kementerian mengesahkan
kakitangannya menerima peringatan untuk ikut dan “like” pautan media sosial
menteri dan timbalannya.
Menurutnya, “permintaan” itu untuk memastikan keberkesanan program kementerian
disampaikan kepada rakyat.
Join our Telegram Channel