PETALING JAYA – Rakaman video yang menunjukkan Timbalan Menteri Kerja Raya,
Datuk Eddin Syazlee Shith tertidur ketika di satu majlis konvokesyen baru-baru
ini tular hingga ke Turki.
Melalui satu hantaran yang dikongsi oleh seorang pengguna laman Twitter
menunjukkan rakaman itu disiarkan dalam berita minggu sebuah saluran
televisyen di Turki, Kanal 7, dengan tajuk ‘Timbalan Menteri Malaysia tidur
nyenyak dalam protokol’.
Hantaran tersebut mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya terkejut dengan
tersebarnya rakaman itu sehingga mendapat perhatian pihak media di Turki.
Terdahulu, sebuah video berdurasi lebih 1 minit yang memaparkan Eddin Syazlee
tertidur ketika menghadiri Majlis Khatam Al-Quran dan Graduasi Huffaz kali
Ke-5 Sekolah Menengah Agama Sains Kuala Pilah di Seremban tular di media
sosial, semalam.
Video berkenaan turut memaparkan dua individu yang berada di atas pentas cuba
mengejutkan beliau, namun gagal sebelum seorang lelaki iaitu pengawal
peribadinya mengejutkannya.
Join our Telegram Channel