PETALING JAYA – Sebuah klip video yang memaparkan seorang remaja perempuan
berusia 12 tahun ditampar dan dipijak tular di laman Twitter dalam satu
insiden yang dilaporkan berlaku di Kelana Jaya, di sini, semalam.
Video berdurasi 2 minit 20 saat itu menunjukkan seorang remaja memakai baju
berwarna kuning menarik rambut mangsa sehingga membuatkan dia terduduk sebelum
memijak dan menampar kepala mangsa.
Turut kedengaran suara beberapa remaja ketawa beramai-ramai dan bertepuk
tangan apabila melihat rakan mereka mengasari mangsa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang semalam, mangsa mendakwa diserang dan
dikepung remaja terbabit bersama empat lagi remaja perempuan berusia 12 hingga
15 tahun berdekatan tangga sebuah pangsapuri di Kelana Jaya.
Mangsa mendakwa remaja terbabit menuduh dia mempunyai hubungan dengan seorang
remaja lelaki berusia 16 tahun.
Video itu telah ditonton lebih 391,000 kali dan diulang kicau lebih 11,000
pengguna media sosial itu sejak dimuat naik pemilik akaun bernama @4rshrf
semalam.
Menerusi rajutan di laman Twitter berkenaan, mangsa dikatakan mengalami
beberapa kecederaan seperti bengkak pada bahagian leher serta kepala dan telah
mendapat rawatan di hospital berhampiran.
Selepas video tersebut tular, seorang remaja dipercayai menjadi ‘ketua’ dalam
insiden serangan itu menafikan kejadian disebabkan berebut teman lelaki
sebaliknya berpunca daripada perselisihan faham berkaitan penyebaran fitnah.
Namun, melalui Instagram miliknya, dia mengaku perbuatannya memukul mangsa
kerana didorong perasaan marah dan geram.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad
Fakrudin Abdul Hamid mengesahkan menerima laporan kes tersebut pada pukul 9.26
malam tadi dan kesemua suspek yang disyaki terlibat telah dikenal pasti untuk
siasatan lanjut.
“Semasa kejadian terdapat rakan suspek merakam perbuatan itu dan
menyebarkannya di kumpulan aplikasi WhatsApp dan laman Instagram suspek.
Join our Telegram Channel