Kerajaan tak gagal, rakyat yang gagal kata PAS



PERNAH tak kita fikir, sebab apa pandemik ini berlaku semasa kita jadi kerajaan? Sebab apa tak berlaku semasa PH jadi kerajaan penuh? Bayangkan jika PH jadi kerajaan penuh, termasuk menang di Terengganu, macam mana dia nak ‘handle’ pandemik ini, terutama bila melibatkan pembahagian bantuan kepada rakyat.

Ingat tak mereka sehingga terpaksa mengiklankan jawatan MPKK masa itu kerana tiada akar umbi. Tidak cukup korum untuk tubuh jawatankuasa. Puas mereka cuba memujuk, baik dari Umno, apalagi PAS, tak endah untuk sertai mereka. Adalah beberapa kerat yang terliur dengan tawaran. Sehinggakan selepas kalah pun, masih ada MPKK mereka yang tidak berjaya dibentuk.

Jika ketika itu pandemik berlaku, kita boleh bayangkan kekacauan yang bakal berlaku. Dengan tidak cukup kakitangan, dengan tiada senarai penerima yang lengkap kerana PH tiada cawangan sebelum itu di mana-mana. Rakyat akan menyumpah mereka agaknya berganda-ganda lagi berbanding sekarang. Mungkin itu yang kita fikirkan. Dan PH tinggal batu nisan.


Namun, takdir menentukan ia berlaku ketika kita yang memegang kuasa ini. Berbagai jurus silat kita keluarkan bagi menepis segala macam serangan dari PH dan rakan-rakannya dengan hashtag mereka ‘Kerajaan Gagal’. Yang akhirnya perlahan-lahan ia menjadi ‘Rakyat Gagal’ kerana terbukti kerajaan menjalankan tugas mereka, tetapi sebahagian rakyat yang berdegil.

Tetapi jauh dari itu, sebenarnya ini adalah jalan pahala yang dikurniakan Allah kepada keseluruhan jentera kerajaan yang bertungkus lumus mengagihkan bantuan kepada rakyat. JPKK contohnya dihina orang kerana dakwa mereka gagal mengagihkan bantuan kepada sasaran. Betapa besar pahala fitnah yang diperolehi mereka kerana tuduhan ini.

Ia bukan berkenaan menang atau kalah, dilihat atau tidak dipedulikan orang dengan kerja buat anda. Tetapi keikhlasan yang dituntut dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab anda semua kepada rakyat. Inilah tuntutan kepada sejauh manakah anda tahan dengan ujian dan fitnah ini.

Apabila kita mendakwa kita beriman, jangan beranganlah kita boleh duduk bebas dari ujian Allah. Allah pasti menguji kita bagi mengesahkan kebenaran iman kita itu. Kita laksanakan kerja kita, tetapi tidak dihargai orang, kita syukur. Kita buat tugasan kita, tetapi difitnah kata menyeleweng bantuan, kita sabar dan bersyukur.


Kita sudah meratakan bantuan ke seluruh sasaran yang dinamakan, namun ada lagi golongan yang berada di luar kerajaan, mendakwa masih ramai yang terjejas, dan mereka mengandar beras, tepung, minyak, susu dan berbagai lagi bahan asas makanan, ditunjukkan dalam media sosial, sekali gus menampakkan kamu, JPKK, tidak boleh diharap. Tetapi kamu semua tetap sabar dengan tuduhan itu.

Maka pahala dari lubang-lubang ini akan menaikkan darjat kamu di akhirat nanti. Sabarlah, ia tidak semudah yang diucap, tetapi dengan sabar itu, insya-Allah syurga menanti kamu. Biarlah dia masuk kampung tanpa memberi salam, atau berbincang, bertanya apa lagi keperluan yang perlu untuk diagihkan, kerana mereka juga mahukan nama mereka tersebar, dilihat wira. Mereka juga ada tujuannya. 

Bersabarlah semua sahabat yang berjuang dalam kerajaan sekarang, kerana dengan sabar, insya-Allah nama-mu sedang dipahat di syurga. Biarlah kamu tidak dikenali, tetapi amanah kamu laksanakan dengan sabar dan ikhlas hati. Semoga kamu tergolong dari kalangan orang-orang yang sabar. Bukankah Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:

“Sungguh ajaib dalam urusan orang Mukmin. Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang Mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya.”

(Riwayat Muslim)

Ingatlah, Allah memilih kamu untuk ujian ini.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 22/6/2021





Join our Telegram Channel
Telegram