Rakyat Perancis tak perlu pakai facemask lagi bermula semalam



Ketika negara kita masih ‘bergelut’ dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), prosedur operasi standard (SOP), Ordinan Darurat dan sebagainya, beberapa negara di Eropah pula berlaku sebaliknya.

Seperti yang kita faham, Hungary baru-baru ini mencuri perhatian dunia apabila penyokong bola sepaknya membanjiri Stadium Puskas Arena bagi menonton perlawanan Hungary menentang Portugal (EURO 2020) secara bersesak-sesak tanpa memakai pelitup muka.

Kali ini, Perancis pula membuat satu ‘kejutan’ apabila rakyat negara itu telah dibenarkan keluar rumah tanpa memakai pelitup muka bermula Khamis semalam.



Malah lebih mengujakan, perintah berkurung atau kita umpamakan sebagai ‘PKP’ di sana juga turut akan dimansuhkan bermula Ahad ini, kira-kira 10 hari lebih awal berbanding yang dijadualkan.

Perdana menterinya, Jean Castex berkata demikian dalam satu kenyataan baru-baru ini, selain menyatakan bahawa keputusan ini adalah satu ‘berita yang sangat baik’ untuk dihebahkan kepada rakyat.

Pengumuman itu dibuat ketika jangkitan harian baru di Perancis jatuh ke 3,200 kes pada Selasa baru-baru ini dan ia adalah yang terendah sejak Ogos tahun lalu, serta jauh daripada had maksimum 5,000 kes yang Presiden Emmanuel Macron tetapkan.

Meskipun tidak perlu lagi memakai pelitup muka di luar, bagaimanapun orang awam masih tetap perlu memakainya ketika berada dalam kenderaan awam, di stadium dan di mana-mana tempat yang sesak.


Difahamkan, SOP wajib memakai pelitup muka di luar rumah serta perintah berkurung di rumah bermula 6 petang yang dikuatkuasakan sejak 30 Oktober lalu telah mula mendapat tentangan oleh orang awam.

Untuk rekod, lebih 58 peratus daripada populasi golongan dewasa di Perancis telah menerima suntikan vaksin sekurang-kurangnya satu (1) dos setakat hari ini. Malah kanak-kanak berusia 12 hingga 18 tahun juga turut akan menerima vaksin sebagai langkah mencapai ‘herd immunity’.

Dalam masa sama, kerajaan juga menganggarkan bahawa 35 juta penduduk Perancis dijangka akan selesai menerima suntikan vaksin penuh pada penghujung musim panas ini. – France24 / Metro

 

Join our Telegram Channel
Telegram