PETALING JAYA: Polis menahan usahawan kosmetik terkenal bagi membantu
siasatan berhubung rakaman ‘live’ yang didakwa melakukan amang seksual bukan
fizikal terhadap dua kanak-kanak lelaki di bawah umur.
Difahamkan, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang
malam tadi.
Bagaimanapun, seorang lagi pemilik Instagram, Pipinatasha yang juga membuat
‘live’ dengan usahawan itu tidak dapat dipastikan sama ada turut ditahan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan mengesahkan
perkara itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Ya, kita sudah tangkap semalam dan pagi ini akan mendapatkan reman. Biar
kami siasat dahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan satu siasatan akan dijalankan Polis
Diraja Malaysia (PDRM) berhubung satu rakaman ‘live’ membabitkan seorang
usahawan kosmetik dan rakannya dipercayai transgender kerana melakukan amang
seksual bukan fizikal terhadap dua kanak-kanak lelaki di bawah umur.
Siasatan itu dilakukan susulan rakaman ‘live’ di akaun Instagram miliknya
itu tular dan menunjukkan mereka berpakaian tidak senonoh selain menghisap
rokok elektronik vape di hadapan dua kanak-kanak dipercayai berusia 14 dan
15 tahun.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan
Kanak-kanak Bukit Aman (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten
Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, pihaknya telah menerima rakaman
tersebut dan sedang mengenal pasti pemilik akaun terlibat selain memanggil
semua individu yang ada di dalam rakaman tersebut.
“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 15 (a) dan Seksyen 14 Akta
Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 atau ‘child
grooming’,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, seorang pemilik Facebook dikenali Akhi Fairuz Al-Jengkawi memuat
satu hantaran yang mengenai isu tular di laman sosial Twitter berkenaan
rakaman ‘live’ usahawan kosmetik terbabit bersama rakannya.
Dalam hantaran tersebut, pemilik Facebook itu mempersoalkan tindakan
usahawan dan rakannya itu yang berpakaian tidak senonoh disamping melakukan
adegan ‘panas’ terhadap dua kanak-kanak lelaki yang turut serta dalam live
tersebut.
Pemilik Facebook berkenaan juga meminta pihak berkuasa mengambil tindakan
tegas terhadap perkara itu. – Utusan
Please subscribe
Join our Telegram Channel