Tak mampu kebumikan bayi kerana miskin, ibu dakap jenazah semalaman



PETALING JAYA: Seorang ibu terpaksa menunggu semalaman untuk menguruskan jenazah bayi lelakinya yang berusia tiga bulan kerana kesempitan hidup.

Dia hanya mampu mendakap bayi itu sejak malam tadi yang meninggal dunia akibat demam panas.

Kejadian itu berlaku di sebuah rumah setinggan Kampung Bangau-Bangau, Semporna, Sabah sebelum disedari seorang sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Rumah Ngaji, lapor Harian Metro.


Pengasas Rumah Ngaji, Laili Basir berkata, pihaknya dengan bantuan tiga guru agama kampung membantu menguruskan jenazah bayi berkenaan.

“Ibunya tinggal menumpang di rumah itu bersama seorang lagi anak perempuannya berumur dua tahun.

“Kejadian disedari seorang sukarelawan kita yang lalu di situ dan melihat ibu berkenaan menangis, bila ditanya dia memaklumkan bayinya sudah meninggal dan dia tidak mampu menguruskannya kerana tidak ada apa-apa,” katanya.

Laili berkata, pihaknya segera menguruskan bayi berkenaan dan selamat dikebumikan jam 1.30 tengah hari.

Katanya, ibu berkenaan masih dalam keadaan trauma dan difahamkan sebelum itu turut meminta bantuan beberapa orang.


Menurutnya, keluarga berkenaan dihimpit kesusahan selepas suaminya menjalani hukuman penjara selama setahun kerana masalah dadah.

“Justeru kita bantu keluarga ini dengan barangan asas untuk dua bulan dan bantuan lain yang bersesuaian,” katanya.

Laili berkata, Rumah Ngaji yang dikendalikannya banyak membantu masyarakat setempat khususnya mereka yang tiada identiti untuk belajar agama sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, pihaknya juga bekerjasama dengan beberapa NGO Semenanjung untuk kutipan dana bagi membantu golongan memerlukan. – FMT





Join our Telegram Channel
Telegram