Netizen Malaysia melepaskan rasa geram terhadap cara Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri Azmin Ali menangani wabak Covid-19 pada laman media
sosial Menteri Hal Ehwal Digital dan Ekonomi Austria, Margarete Schramböck.
Ini selepas ciri komen platform media sosial Azmin ditutup di tengah-tengah
komen kemarahan yang berterusan.
Ini menarik perhatian bekas perdana menteri Najib Razak yang menulis di
Facebook.
"Min, rakyat suruh kamu tutup kilang. Bukan tutup ruang komen," katanya.
Hantaran Schramböck dalam bahasa Jerman di laman Facebooknya mengenai
pertemuan bersama Azmin mendapat lebih 6,700 komen, kebanyakannya netizen
Malaysia.
"Tuan Yang Terutama Dr Margerete Schramböck, kami ingin memperdagangkan Azmin
Ali dengan apa sahaja yang sesuai dengan anda, sebuku roti ... sebiji batu,
tidak menjadi masalah. Kami akan mengambil apa sahaja untuk dia terus tinggal
di sana. Harap pertimbangkan perdagangan ini, terima kasih," kata seorang
pengguna Facebook.
Yang lain meminta maaf kerana "mengganggu" Schramböck tetapi menyatakan mereka
tidak dapat memberi komen di laman Facebook Azmin.
"Kerana dia jumlah kes Covid-19 di sini meningkat dengan tidak terkawal," kata
pengguna lain.
Azmin kemudian menyiarkan hantaran mengenai pertemuan yang sama di laman
Facebooknya yang membolehkan pengguna memberi komen.
Walau bagaimanapun, komen masih tidak dibenarkan pada hantaran sebelumnya.
"Saya mengadakan pertemuan dua hala yang produktif dengan Tuan Yang Terutama
Dr Margerete Schramböck, Menteri Persekutuan untuk Hal Ehwal Digital dan
Ekonomi Austria.
"Kami bersetuju mengenai kepentingan utama untuk terus memperkukuhkan hubungan
perdagangan dan pelaburan dua hala yang kuat antara Malaysia dan Austria,"
kata Azmin pada laman Facebooknya.
Hantaran itu menerima lebih dari 1,900 komen, yang kebanyakannya aduan
mengenai cara Azmin mengendalikan wabak Covid-19.
Kemarahan netizen semakin 'meluap-luap' apabila kes Covid-19 terus meningkat
walaupun dengan pelaksanaan PKP penuh.
Kes baru Covid-29 semalam memecah rekod jangkitan tertinggi dengan 9,180 kes,
lebih 4,000 kes di Selangor.
Pun begitu, kerajaan telah mula membenarkan kompleks beli-belah dibuka semula.
Join our Telegram Channel