PETALING JAYA: Penganalisis politik menjangkakan sukar bagi parti baharu
seperti Pejuang memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) untuk mentadbir
negara secara solo, walaupun ia dipimpin seorang negarawan seperti Dr Mahathir
Mohamad.
Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain berkata,
melihat kepada situasi politik ketika ini, beliau tidak menolak Pejuang akan
membentuk jajaran baharu dengan Perikatan Nasional (PN) selepas PRU15.
Beliau juga turut menjangkakan empat Ahli Parlimen Pejuang, termasuk seorang
calon bebas dan daripada parti MUDA yang mesra Mahathir, akan memberi undi
sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri jika usul percaya
dibentang apabila Parlimen bersidang 26 Julai ini.
Sokongan itu juga sebagai respons kepada keputusan kerajaan meluluskan
permohonan parti Pejuang, kata Atory.
“Mahathir juga bimbang, kalau partinya tidak menyokong Muhyiddin, Presiden PKR
(Anwar Ibrahim) akan naik menjadi PM, sebab itu juga Muhyiddin luluskan
pendaftaran Pejuang,” katanya.
Ditanya sejauh mana Pejuang pimpinan Mahathir mampu memenangi PRU15, Atory
mengakui aura bekas PM itu kali ini tidaklah sehebat dahulu, namun beliau
mempunyai pengaruh tersendiri.
“Oleh sebab beliau tak mahu berehat, akan ada juga sokongan daripada
sebahagian rakyat yang taksub dengannya. Jadi perkara itu tidak boleh
dihalang, itu minatnya, beliau pun sihat,” katanya.
Salawati Mat Basir daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut
berkongsi pandangan sama.
“Pejuang dijangka akan memilih untuk bekerjasama dengan PN, berbanding BN atau
PH kerana Mahathir pernah berada dalam gabungan itu. Malah bekas parti yang
diasaskan beliau, Bersatu, dalam gabungan itu, jadi kemungkinan Pejuang
bersama PN itu tinggi,” katanya.
Katanya, sekalipun setelah Pejuang diluluskan pendaftarannya, parti itu bakal
berdepan persepsi negatif rakyat susulan kegagalan Mahathir menunaikan segala
janji selepas memenangi pilihanraya dan menerajui kerajaan PH selama 22 bulan.
Dalam pada itu, penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM),
Azizuddin Mohd Sani sukar meramalkan Pejuang akan bekerjasama dengan pihak
mana, memandangkan langkah politik Mahathir sukar dibaca.
“Kalau Mahathir bekerjasama dengan Anwar sekali lagi, saya tidak terkejut.
Beliau juga mungkin boleh kerjasama dengan Warisan, MUDA.
“Untuk Mahathir bekerjasama dengan Umno-BN, termasuk dengan pemimpin kluster
mahkamah, ia tidak mustahil kalau ada persetujuan bersama. Dengan PN pun tidak
mustahil, sebab setelah Umno kata nak keluar PN, Bersatu perlu sokongan
beliau.
“Mahathir ini cekap politik, beliau boleh cari jalan untuk berkompromi dengan
musuh, bekerjasama untuk menang PRU,” katanya.
Kamarul Zaman Yusoff, juga daripada UUM, berkata dengan pengalaman luas
Mahathir, tiada siapa boleh memperkecil kemampuan beliau mencipta kejutan.
“Ada kemungkinan walaupun Pejuang bergerak secara solo, Mahathir akan
mengadakan kerjasama tidak rasmi dengan parti-parti tertentu bagi membolehkan
peluang Pejuang untuk menang lebih tinggi.
“Sekalipun begitu, secara solo, kekuatan Pejuang hanya berkisar sekitar
pengaruh peribadi Mahathir sahaja, menjadikan Pejuang hanya mampu memberi
impak utama di negeri kelahiran beliau, Kedah,” katanya.
Beliau berkata, kecenderungan PH terhadap Anwar sebagai PM menyebabkan Pejuang
dijangka akan cenderung kepada PN jika gabungan itu memberi Mahathir peranan
dalam kerajaan.
“Umum diketahui bahawa Mahathir sama sekali tidak akan membenarkan Anwar naik
sebagai PM. Dalam keadaan begini, maka kemungkinan besar gabungan PN akan
lebih berpeluang menang berbanding PH,” katanya.
Sementara itu, Iskandar Hasan Tan Abdullah daripada Universiti Teknologi MARA
(UiTM) Kelantan berkata, walaupun peluang Pejuang memenangi kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) lebih besar, sukar baginya berbuat demikian di Parlimen
atas faktor jentera dan keahlian.
“Malah kerusi Parlimen Melayu kurang berkemungkinan untuk pecah jika Pejuang
bergerak solo. Tetapi kerusi Parlimen Melayu akan pecah jika Pejuang menyertai
PH dan menentang PN dan BN,” katanya.
Selepas diluluskan pendaftarannya, Pejuang mensasarkan akan meletakkan ramai
calon bertanding di seluruh negara pada PRU15, di kerusi-kerusi yang diyakini
mampu dimenanginya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel