Parti Pejuang telah didaftarkan sebagai parti yang sah, kata Pengerusi
Pejuang, Dr Mahathir Mohamad.
“Saya ingin umumkan bahawa parti Pejuang ini telah didaftarkan. Sebagai parti
politik kita berterima kasihlah kepada kerajaan yang mendaftar parti Pejuang
ini dan kami berpendapat bahawa cara kami bukanlah untuk menimbulkan masalah,
cuma kita buat melalui undang-undang.
“Tak ada sebab kenapa kami tak boleh didaftar.
“Jadi akhirnya, parti Pejuang ini sudah didaftar, dan mereka yang ingin
menyertai Pejuang, mereka dialu-alukan, bolehlah buat permohonan, dan saya
harap kita akan lebih cergas selepas ini,” katanya dalam satu sidang media
dalam talian hari ini.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebelum ini tidak melayan permohonan
Pejuang, namun setelah parti itu membawa isu berkenaan ke mahkamah sejak tahun
lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Jun mengarahkan Kementerian Dalam
Negeri (KDN) membuat keputusan dalam masa 14 hari.
Pendaftaran Pejuang diluluskan hari ini, yang merupakan hari terakhir tempoh
14 hari yang diberikan mahkamah.
“Kelulusan adalah dari menteri (dalam negeri) dan pengarah ROS,” kata
Mahathir.
Pejuang memiliki empat ahli parlimen termasuk Mahathir yang merupakan wakil
rakyat Langkawi.
Muda juga tuntut parti disahkan
Susulan itu, Parti Ikatan Demokratik (Muda) turut menggesa ROS untuk
mempercepat kelulusan pendaftaran ke atas parti Muda.
Meskipun menyambut baik kelulusan ke atas Pejuang oleh ROS, Setiausaha Agung
Penaja Muda, Amir Abd Hadi mengingatkan yang kelulusan itu hanya diberikan
selepas tempoh masa panjang dan terpaksa dibawa ke mahkamah.
Oleh hal yang demikian, Muda menggesa agar Akta Pertubuhan 1966 dipinda,
selari dengan cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Buat masa ini, undang-undang itu tidak memperuntukkan tempoh masa tertentu
bagi meluluskan pendaftaran sesuatu persatuan, dan memberikan kuasa yang
terlalu besar kepada Menteri Dalam Negeri ke atas perkara berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel