Tidak benar Wisma Putra halang misi HM4P – Azeez Rahim



Kuala Lumpur – Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang mengetuai misi Humanitarian Mission 4 Palestine (HM4P) menafikan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien dan Wisma Putra menjadi penghalang mereka masuk ke Gaza.

Bercakap dalam sesi wawancara bersama UMNO-Online malam tadi, Abdul Azeez  memberitahu Wisma Putra sangat membantu malah pantas menjawab semua permintaan mereka.

“Pada bulan Mei kita menghantar surat kepada Datuk Seri Hishammudin, kita mendapat maklum balas serta-merta dari pejabat beliau dan menjanjikan kerjasama penuh,” jelas Azeez dalam wawancara tersebut.


Azeez menyifatkan laporan sebuah media bahawa beliau menyatakan Wisma Putra menghalang pasukannya masuk ke Gaza adalah sebagai fitnah dan agenda cuba melaga-lagakan beliau dengan Hishammuddin.

“Ini satu lagi fitnah dan cubaan melaga-lagakan. Saya tidak pernah bercakap dengan sesiapa, saya tidak pernah bagi ‘press conference’, … ini semua fitnah.”

Azeez juga memberitahu kedutaan Malaysia di Mesir dan Kerajaan Mesir sendiri sangat membantu bagi menjayakan misi mereka, namun akhirnya mereka tidak dibenarkan masuk kerana keadaan keselamatan sangat membimbangkan.

Menurut Azeez, Mesir hanya memberikan kebenaran untuk mereka sampai ke sempadan negara tersebut di Rafah sahaja atas faktor keselamatan.


(Sebelum ini SuaraTV telah melaporkan misi HM4P hanya dibenarkan sampai ke sempadan Rafah sahaja).

Misi UMNO akhirnya membuat keputusan pulang dahulu setelah mendapat nasihat daripada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Azeez, Ismail menasihati mereka pulang dahulu dan merancang semula misi tersebut sebaik keadaan keselamatan lebih terjamin.

Sebelum ke Mesir, misi HM4P telah menyampaikan bantuan di kem pelarian Palestin berhampiran sempadan Jordan. – SuaraTV



 

Join our Telegram Channel
Telegram