Ahli Parlimen Umno pro-Muhyiddin kini tersepit




PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata, 23 Ahli Parlimen Umno yang menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mungkin mendapati diri mereka bukan sahaja tidak disukai oleh ahli akar umbi atau pemimpin parti, malah mungkin juga tidak mendapat kerusi.

Penganalisis sosio-politik Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, ahli akar umbi Umno menghargai kesetiaan dalam kalangan pemimpin politik mereka. 

“Mungkin akan jadi sulit semasa pilihan raya bagi mereka yang terlalu lantang menentang pemimpin parti dan mengetepikan kemahuan ahli akar umbi,” katanya kepada FMT.

Awang Azman berkata, Ahli Parlimen berkenaan cenderung ditempatkan di kawasan-kawasan di mana mereka sukar untuk menang. Ada juga yang mungkin tidak dapat mempertahankan kerusi pada pilihan raya umum akan datang (PRU15).


“Ahli akar umbi Umno mungkin berasa pemimpin mereka mengabaikan mereka ketika sokongan mereka paling diperlukan semasa wabak,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Umno yang pro-Muhyiddin dikejutkan dengan tawaran “perdamaian” Perdana Menteri kepada pihak pembangkang.

Sekurang-kurangnya dua Ahli Parlimen Umno dilaporkan berkata, mereka tidak tahu menahu mengenai rancangan Muhyiddin.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin, antara penyokong lantang gabungan PN, dipetik sebagai berkata beliau hanya mendapat tahu mengenainya ketika Muhyiddin membuat tawaran itu pada siaran langsung di televisyen.

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman, yang menentang keputusan Umno meninggalkan kerajaan PN, dilaporkan berkata, beliau tidak mengetahui dengan jelas sifat kerjasama yang dicadangkan Perdana Menteri itu.


Beliau juga tertanya-tanya sama ada DAP akan menjadi sebahagian daripada gabungan PN.

Ahli akademik Azmi Hassan berkata, salah satu cara bagi Ahli Parlimen Umno untuk menjaga air muka adalah dengan membuat pusingan U.

“Ini adalah salah satu cara bagi mereka untuk mendapatkan sokongan akar umbi,” katanya kepada FMT.

“Mereka sedar akar umbi tidak akan menyokong mereka kerana kekal bersama Muhyiddin, dan mereka akan menggunakan tawaran Muhyiddin kepada pembangkang sebagai alasan untuk berundur,” tambahnya.

“Kita akan cenderung melihat semakin ramai Ahli Parlimen Umno menawarkan sokongan kepada presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.”



Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun, mempersoalkan sama ada 23 Ahli Parlimen itu dapat mengekalkan daya tarikan tempatan mereka tanpa sokongan jentera Umno.

Pada Jumaat, Muhyiddin mencadangkan suatu kerjasama rentas kepartian dengan menawarkan pelbagai “ganjaran”.

Ini termasuk “janji” mengadakan pilihan raya umum selewat-lewatnya Julai tahun depan, mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri selama dua penggal, peruntukan setara bagi semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik, dan pembentangan Rang Undang- Undang Antilompat Parti di Parlimen. – FMT

 
>

Join our Telegram Channel
Telegram