Keputusan MKT tangguh pemilihan Umno 18 bulan tidak sah, kata JPPM



PETALING JAYA: Keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan MKT, bahagian dan cawangan selama 18 bulan adalah tidak sah, kata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Ketua Pengarah JPPM, Jasri Kasim berkata, tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018-2021 tamat pada 30 Jun 2021.

“JPPM berpandangan bahawa tempoh pemegang jawatan MKT bagi pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun 2021.


“Oleh itu, keputusan MKT Umno untuk menangguhkan pemilihan jawatan di semua peringkat selama 28 bulan pada 7 Julai 2021 adalah tidak sah,” katanya menerusi surat yang dikeluarkan hari ini.

Jasri berkata, JPPM bertanggungjawab memastikan semua aktiviti dan pentadbiran pertubuhan berdaftar dilaksanakan sejajar dengan perlembagaan pertubuhan masing-masing yang tidak bercanggah dengan Akta Pertubuhan 1966 atau undang-undang negara.

Katanya, Umno perlu menetapkan tarikh untuk mengadakan mesyuarat pemilihan kepada JPPM dengan kadar segera.


8 Julai lalu ketika mengumumkan keputusan Umno menarik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi turut memaklumkan bahawa MKT telah mengesahkan untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan.

25 Jun lalu, Timbalan Presiden Mohamad Hasan berkata, Umno menangguhkan pemilihan parti itu selama 18 bulan atau sehingga situasi pulih susulan pandemik Covid-19.

Katanya, walaupun pemilihan boleh dijalankan secara maya, ia mustahil ketika ini kerana 3 juta ahli di peringkat cawangan dan bahagian di seluruh negara perlu bermesyuarat dan mendengar maklum balas akar umbi dalam proses itu. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram