MKT Umno hanya ‘caretaker’ sehingga pemilihan parti dibuat, kata JPPM



PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno diketuai Presiden Ahmad Zahid Hamidi hanya boleh menjalankan kerja-kerja pentadbiran parti sehingga selesai pemilihan dan perhimpunan agung Umno 2021 dijalankan, kata Jabatan Pertubuhan Pendaftaran (JPPM).

Ketua Pengarah JPPM Jasri Kasim berkata, dalam situasi itu, pihaknya menyangkal khabar angin bahawa pendaftaran parti itu boleh dibatalkan dengan mudah kerana ia masih diterajui pengerusi tetap dalam tempoh fungsi kepimpinan MKT ketika ini.

“Pada masa ini (kepimpinan Umno) seperti ‘caretaker’ sahaja, hanya boleh buat pengurusan ‘administrative’ atau pentadbiran biasa parti.

“Dari segi pelaksanaan keputusan dasar kena bawa ke perhimpunan agung dahulu kerana ia lebih kepada ‘caretaker’ sahaja,” katanya, menurut laporan Utusan Malaysia.


Jasri berkata, JPPM sudah menerima surat penjelasan daripada Umno semalam berhubung keputusan penangguhan pemilihan selama 18 bulan dengan pihaknya berpandangan sebelum ini sebagai tidak sah memandangkan keputusan penangguhan itu dibuat selepas tamat tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 pada 30 Jun lalu.

Jelas beliau, pihaknya akan meneliti dengan terperinci surat penjelasan yang diterima terlebih dahulu kerana Umno ada mengemukakan maklumat baharu.

Bagaimanapun katanya, segala inti pati surat penjelasan itu tidak boleh didedahkan, namun memaklumkan akan menilai satu persatu penjelasan berkenaan.

“Saya sudah bercakap perkara ini kepada Umno bahawa isu ini ‘straight forward’ sahaja, kita dah dengar penjelasan mereka dan akan teliti satu persatu.


“Mereka juga tidak mengemukakan lagi cadangan tarikh baharu pemilihan parti dan perhimpunan agung Umno 2021 yang akan diadakan,” katanya.

JPPM pada Ahad lalu menyarankan Umno mengadakan pemilihan parti selewat-lewatnya sebelum hujung tahun ini dan pelaksanaan pemilihan hanya dibenarkan untuk ditangguhkan sebelum 31 Dis, dengan parti tersebut perlu mengemukakan permohonan penangguhan kepada JPPM dalam tempoh terdekat.

Perkara sama juga perlu dipatuhi pertubuhan lain, bukan hanya melibatkan pertubuhan politik yang belum mengadakan pemilihan atau mesyuarat agung sejak tahun lalu.

Berikutan itu, Umno menyangkal dakwaan JPPM itu kerana percaya tiada sebarang kekhilafan berhubung keputusan penangguhan berkenaan dan pihaknya menerima surat daripada Ketua Pengarah JPPM bertarikh 19 Julai lalu yang menyatakan pihaknya tiada halangan berhubung penangguhan pemilihan mengikut perlembagaan Umno Perkara 10.16.


Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan dalam satu sidang media maya menjelaskan mesyuarat MKT pada 7 Julai mengabsahkan keputusan mesyuarat pada 18 Jun untuk menangguhkan pemilihan, malah Ketua Pengarah JPPM dalam satu surat pada 19 Julai pula menyebut pihaknya tiada halangan tentang penangguhan pemilihan mengikut perlembagaan Umno Perkara 10.16.

Selain itu, Umno telah menghantar surat kepada JPPM pada 30 Julai berhubung minit mesyuarat MKT bertarikh 7 Julai lalu yang mengesahkan keputusan resolusi edaran pekeliling 18 Jun.

Pada 29 Jun lalu, Umno menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan peringkat tertinggi parti selama 18 bulan bermula 30 Jun lalu setelah menemui dan menulis surat kepada Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan serta Ketua Pengarah JPPM. – FMT



 

Join our Telegram Channel
Telegram