'Ada sorang ahli MKT teruja bila rasa MKT UMNO bakal digantung' – Shahrir



KUALA LUMPUR – Pengesahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung keputusan penangguhan pemilihan parti UMNO untuk penggal 2021/2023 membuktikan tidak ada apa-apa muslihat pun di sebalik keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang menangguhkan pemilihan parti.

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad bagaimanapun tidak menolak kemungkinan wujud muslihat yang dirancang supaya MKT UMNO diletakkan sebagai ‘caretaker’ (penjaga sementara) untuk memuktamadkan persoalan ‘parti menguasai kerajaan’ atau ‘kerajaan menguasai parti’.

Dedah beliau, seminggu sebelum RoS mengantar surat kepada Setiausaha Agung UMNO mohon penjelasan, seorang ahli MKT sungguh teruja dengan kemungkinan MKT UMNO bakal digantung dan UMNO tidak boleh menangguhkan pemilihan parti.

Katanya, walaupun ahli MKT itu – yang juga seorang ahli Parlimen teruja, tetapi kenalah tunggu pemilihan parti yang pastinya berlaku.


“Sehingga itu, ahli MKT tersebut kenalah tunggu untuk menebus kembali kekalahannya dalam pemilihan parti yang lalu,” katanya yang mengulas mengenai keputusan RoS.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO berkata, UMNO telah menerima surat daripada RoS yang mengesahkan keputusan penangguhan pemilihan parti itu untuk penggal 2021/2023 dibuat secara teratur.

Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pemilihan jawatan UMNO untuk Majlis Kerja Tertinggi (MKT), bahagian dan cawangan adalah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kepada RoS iaitu sebelum 29 Disember 2022.

“Berdasarkan semakan kepada keterangan dan dokumen tambahan yang telah saya dan peguam UMNO berikan pada 9 Ogos, 11 Ogos, 18 Ogos dan beberapa keterangan Ahli MKT pada 24 Ogos, adalah didapati bahawa keputusan penangguhan pemilihan UMNO untuk penggal 2021/2023 telah dibuat secara teratur,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.


Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, dalam ‘kluster yang menang’, ada juga yang berada dalam ‘kluster yang kalah’.

Menang sebagai wakil rakyat tapi kalah sebagai wakil parti.

”Semua sebenarnya sementara atau ‘interim’ pun. Parlimen ada hayatnya dan kepimpinan parti pun ada hayatnya,” katanya.

Shahrir berkata, isu penangguhan pemilihan UMNO telah dikemukakan terlebih dahulu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum dimaklumkan keputusan kepada semua ahli majlis tertinggi dan diminta pendirian tentang penangguhan pemilihan parti.

Ada ahli MKT yang berhujah pendirian yang dipungut secara pekeliling tidak sama keabsahannya dengan melalui mesyuarat yang formal, mahupun secara maya ataupun bersemuka.


”Sebenarnya, pungutan suara itu ialah terhadap perkara berbangkit dalam mesyuarat terdahulu yang perlu dirujuk dahulu kepada MKN dan KKM.

”Lima puluh dua (52) bersetuju, 2 menolak dan 2 tidak jawab kepada pungutan suara melalui applikasi Watsapp,” kata beliau.

”Tetapi kalau arahan RoS dirujuk kepada MKN dan KKM, kerana pemilihan itu melibatkan beratus ribu ahli satu negara, ianya akan tertangguh juga sehingga keadaan mengizinkan,” jelas beliau lagi.

Lagipun, ujarnya, sudahpun tertangguh beribu mesyuarat agung koperasi atas arahan Suruhanjaya Koperasi. – MG



Join our Telegram Channel
Telegram