Ketua Armada Kota Bharu dituduh bunuh pengawal keselamatan



Polis mengklasifikasikan semula kes seorang pengawal keselamatan yang diserang ketika sedang bertugas di kolam renang sebuah kondominium di Ipoh Disember tahun lepas sebagai kes bunuh, selepas mangsa meninggal dunia Jumaat lepas.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya telah merujuk semula kes berkenaan kepada pihak pendakwa raya hari ini dengan mencadangkan pertuduhan yang lebih tinggi dikenakan kepada suspek.


"Polis mengklasifikasikan semula kes ini pada hari mangsa tersebut meninggal dunia di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

"Kes ini masih lagi menunggu arahan selanjutnya daripada pihak pendakwa raya," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sabtu lepas, Mior Faridalathrash berkata susulan insiden pada 29 Dis itu, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, dan suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pada 6 Jan lepas kerana mendatangkan kecederaan parah, dan kes akan disebut semula pada 9 Sept ini.


Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada tindakan suspek yang tidak berpuas hati terhadap pengawal keselamatan itu kerana cuba menghalang anak suspek daripada menggunakan kolam renang yang tidak dibuka kepada orang ramai ketika itu.

Bagaimanapun, dia berkata pengawal keselamatan itu meninggal dunia di rumahnya pada Jumaat dan hasil bedah siasat oleh pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh mendapati punca kematian disebabkan jangkitan pada paru-paru (Sepsis).

Ahli keluarga pengawal keselamatan berkenaan bagaimanapun tidak berpuas hati dan mendakwa punca kematian adalah disebabkan kejadian pukul tahun lepas. – Bernama




Lihat video di sini.







Join our Telegram Channel
Telegram