Pemimpin Bersatu berdepan tuduhan membunuh pengawal keselamatan, M Kulasegaran jadi peguam



IPOH: Ahli perniagaan yang sebelum ini dituduh memukul seorang pengawal keselamatan hingga parah kini berdepan dakwaan membunuh.

Ahmad Noor Azhar Muhammad, 33, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori selepas pertuduhannya membabitkan Seksyen 335 Kanun Keseksaan yang sepatutnya menetapkan hukuman terhadapnya hari ini ditarik balik pihak pendakwaan.

Bagi Seksyen 335 Kanun Keseksaan mahkamah melepaskan tertuduh tanpa membebaskannya (DNAA).


Prosiding pendakwaan dijalankan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Azalina Rasdi di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, Ahmad Noor Azhar didakwa membunuh seorang pengawal keselamatan, Thava Sagayam Santhanasamy, 64.


Dia dituduh kesalahan itu antara jam 8 hingga 9.30 pagi pada 29 Disember 2020, di Tingkat 7, Menara Majestic, Jalan CM Yusuff di sini.

Tertuduh diwakili peguam Ariff Azami Hussein manakala M Kulasegaran menjadi peguam pemerhati bagi keluarga mangsa.

Mahkamah menetapkan 18 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes manakala tertuduh tidak diberikan jaminan. – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram