Keputusan Muhyiddin letak jawatan PM tepat, kata MIC



PETALING JAYA – MIC akan menghormati keputusan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan kerana parti itu merasakan ia adalah tindakan wajar dilakukan sekiranya seseorang yang memegang kedudukan telah hilang majoriti.

“Terdapat cara untuk membuktikan majoriti anda di Parlimen.

“Memandangkan beliau telah menyatakan telah hilang majoriti menerusi siaran televisyen dan ditolak oleh semua parti berkaitan, ini menggantikan kaedah tradisional yang dilakukan dengan undi percaya,” kata Presiden MIC SA Vigneswaran kepada FMT.

Katanya, dia bertemu dan berbincang dengan perdana menteri semalam mengenai hala tuju masa depan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan beliau menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan.


“Beliau memberitahu kami semua bahawa telah melakukan yang terbaik untuk rakyat dalam keadaan yang berlaku ini.

“Oleh kerana beliau mengakui telah kehilangan majoriti, ia adalah perkara terhormat untuk dilakukan mengikut Perlembagaan,” katanya

Vigneswaran berkata kini terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan siapa selepas ini yang akan memimpin negara.

Katanya, bagi MIC, mereka sentiasa bersama Barisan Nasional (BN) dan tidak pernah bertukar arah.


“Kami akan terus berada dalam pakatan ini. Akhirnya, kita berpandukan kepada apa yang penting untuk negara dan komuniti. Kita tunggu dan lihat apa yang berlaku esok.”

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof dilaporkan berkata, perdana menteri dijangka menyerahkan surat perletakan jawatan kepada Agong selepas mesyuarat Kabinet esok.

Redzuan berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat Ahli Parlimen daripada PN di ibu pejabatnya untuk membincangkan hala tuju parti selepas Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, berundur sebagai perdana menteri – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram