Takkan melompat, diam bukan erti tiada jawapan – Zahid



KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan tidak pernah tunduk kepada tekanan, ugutan atau syarat yang boleh menghancurkan parti itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Malah, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mahu menjalani proses mahkamah bagi membersihkan namanya daripada segala tuduhan yang dilemparkan.


Justeru, beliau langsung tidak memikirkan soal 'melompat-lompat' mencari tempat berlindung seperti yang sering berlaku sebelum ini.

"Bagaimanapun, dalam usaha mendapatkan pengadilan, ada perundangan yang perlu dipatuhi termasuk tidak membuat kenyataan yang boleh membawa kepada menghina mahkamah.

"Maka, tidak menjawab kepada umum apa juga pertuduhan dihadapi bukanlah bererti tiada jawapan.

"Kedaulatan undang-undang haruslah dihormati. Malaysia sebuah negara berperlembagaan," katanya menerusi entri menerusi Facebook di sini, hari ini.


Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, ada pihak dikatakan belum berpuas hati dan enggan menghormati prinsip undang-undang iaitu setiap orang yang didakwa dianggap tidak bersalah sehingga terbukti bersalah.

"Insya-Allah. Presiden UMNO kekal tenang mengharungi cabaran dan ujian ini kerana yakin dengan kebesaran Tuhan yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana," katanya.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.


 
Join our Telegram Channel
Telegram