Tun M tak berhasrat jadi PM kali ketiga



SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga, sebaliknya bersedia memimpin Majlis Pemulihan Negara bagi menangani pandemik Covid-19.

Bagaimanapun katanya, semua pihak perlu akur dan terima dengan apa yang akan diputuskan kerajaan nanti.

Menurutnya, pada masa ini keutamaan adalah menangani Covid-19 kerana terlalu ramai yang menderita atas faktor ekonomi, selain ribuan kes melibatkan kematian Covid-19 serta peningkatan kes bunuh diri.

“Semua ini kerana mereka tak tahan dengan tekanan yang dihadapi kini. Jadi, itu yang menjadi masalah besar kepada kita. Soal nak jadi Perdana Menteri apa semua ini, tak penting kerana masalah sebenar kita adalah wabak Covid-19 ini,” jelasnya dalam Program Ruang Bicara yang disiarkan secara langsung di Bernama TV pada malam Rabu.


Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu menambah, Majlis Pemulihan Negara yanga dimaksudkannya sebagaimana mengikut kerangka Majlis Gerakan Negara (Mageran), yang mana ia akan mengambil tempoh sehingga negara benar-benar selamat dan bebas daripada wabak berkenaan.

Tambahnya, sukar untuknya memberikan tempoh masa sehingga bila badan itu berfungsi, memandangkan Covid-19 ini datang dengan pelbagai varian.

“Sebenarnya saya sudah buat tawaran ini semasa masalah ini tak begitu besar, ketika itu cuma 2,000 kes sahaja setiap hari. Masa itu mudah, kita ada banyak idea tetapi mereka (kerajaan) tak nak bagi kepada saya dan nak buat sendiri.

“Lihatlah sekarang, naik sehingga lebih 20,000 kes sehari. Itu sebabnya saya minta pada masa awal dulu, saya yakin kita dapat kurangkan kes tidak sebagaimana sekarang. Begitu juga dengan ekonomi, kita perlukan pelabur untuk kembali pulihkan ekonomi,” jelasnya.


Disebabkan faktor itu, beliau ingin perbetulkan keadaan dan kembali kepada amalan dahulu, khususnya dalam menarik pelabur ke negara ini, seterusnya mengelak daripada pelabur lari ke tempat lain.

“Banyak benda-benda birokrasi yang menyebabkan ekonomi kita semakin teruk, dengan pengurusan ekonomi umpamanya tidak menggalakkan pertubuhan ekonomi.

“Tapi yang lebih utama adalah masalah Covid-19 ini banyak menghalang kerja, kita tak boleh nak kerja, tak boleh nak meniaga secara biasa tapi kena guna cara lain.

“Perniagaan secara ‘online’ ini boleh membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih besar. Kita lihat apa jadi kepada Amazon. Com dan Alibaba.com yang menjadi besar dengan cepat kerana mereka guna teknologi baru,” ujarnya. – Sinar


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram