KUALA LUMPUR – Biarpun DAP ‘menutup pintu’ kepada Datuk Norhizam Hassan Baktee untuk menyertai mana-mana parti dalam pakatan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan namun, Pakatan Harapan (PH) negeri itu masih ‘membuka pintu’ kepada bekas ADUN Pengkalan Batu itu.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, kedudukan Norhizam itu ‘boleh dirunding’ walaupun DAP menolak penyertaannya dalam PH ketika PRN pada 20 November ini.
“Perkara ini (penolakan DAP) boleh diselesaikan secara baik. PH tidak mengenepikan pandangan mana-mana pemimpin dalam komponen PH, termasuk kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menolak penyertaan Norhizam,” katanya memetik BH, pada Rabu.
Semalam, Guan Eng dilaporkan berkata, DAP menolak penyertaan Norhizam dalam mana-mana parti komponen PH pada PRN Melaka.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Norhizam menang di kerusi Pengkalan Batu atas tiket DAP tetapi menjadi ADUN Bebas dan menyokong Perikatan Nasional (PN) di Melaka, menyebabkan PH tumbang di Melaka pada Mac 2020.
Turut keluar daripada PH ketika itu ialah ADUN Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis (PKR), selain dua ADUN dari BERSATU iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).
Bagaimanapun, Norhizam yang menjadi ADUN Bebas menyertai bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dari UMNO dan BN; Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) juga dari UMNO dan BN serta Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dari BERSATU menarik sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober lalu.
Adly berkata, PH tetap mengambil kira pandangan semua pihak dalam pakatan itu dan perbincangan boleh diadakan bagi mencapai persetujuan bersama.
“Saya yakin kenyataan Setiausaha Agung DAP itu mampu diselesaikan dengan baik melalui perbincangan yang akan diadakan secepat mungkin,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
- TERKINI: Idris Haron, YB Beliau, 2 adun lagi sah bersama PH
- DAP tak terima Norhizam dicalonkan sekali lagi – Guan Eng
- Siapa Guan Eng, DAP nak halang saya bertanding bawah PH? – YB Beliau
- AMK Kedah tidak mahu Idris, Norhizam, 2 lagi Adun sertai PKR
- Adly sanggah Guan Eng, Norhizam berhak sertai komponen PH
- Majoriti tolak, PH terpaksa mesyuarat bincang isu 4 Adun Melaka
- BACA ARTIKEL BERKAITAN KRISIS POLITIK MELAKA DI SINI
Join our Telegram Channel