Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dijadual mengadakan mesyuarat petang ini.
Ia dijangka membincangkan pendirian rakan sekutu PKR yang enggan menerima kemasukan
bekas ketua menteri Melaka, Idris Haron dan tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi menyertai parti itu.
Mesyuarat yang dijangka berlangsung sekitar jam 4.30 petang akan diadakan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.
Beberapa pemimpin PH mengesahkan mesyuarat itu ketika dihubungi Malaysiakini.
Pilihan raya negeri (PRN) Melaka awal November ini akan menjadi isu utama yang akan dibincangkan petang ini.
Dipercayai pertemuan itu juga akan meneliti ketetapan untuk Idris dan tiga Adun lain untuk bertanding bawah tiket PH.
Selain Idris, tiga Adun yang lain ialah Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) yang sebelum ini bersama DAP, Adun Telok Mas, Noor Effandi Ahmad (Bersatu) dan Adun Pantai Kundor, Azman Hassan (Umno).
Kesemua mereka telah dipecat daripada parti masing-masing.
Norhizam sebelum ini bersama DAP dan Noor Effandi bersama Bersatu.
Kedua-dua mereka adalah wakil rakyat yang berpaling tadah untuk membantu membentuk kerajaan negeri Umno-Bersatu.
Semalam, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin mengesahkan keempat-empat wakil rakyat berkenaan menyatakan hasrat untuk bertanding atas tiket PH pada PRN 20 November ini.
Shamsul, yang juga ahli parlimen Hang Tuah Jaya, mengatakan bahawa tidak adil jika keempat-empat mereka tidak diperlakukan dengan sewajarnya.
Bagaimanapun, ia mendapat tentangan DAP.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata parti itu tidak akan menerima Norhizam sebagai calon PRN Melaka.
Namun, Norhizam dalam kenyataan balasnya berkata Lim tiada hak untuk menghalangnya bertanding bawah PH dalam PRN Melaka pada hujung bulan depan.
Malah, menurut bekas Adun DAP itu, dia menerima pelbagai tawaran kerjasama daripada pelbagai parti untuk PRN tersebut pada 20 November ini.
Ahli parlimen Pasir Gudang PKR, Hassan Karim pula dilaporkan berkata PH Melaka terlalu oportunis, sedangkan kepemimpinan pusat gagal menangani krisis.
Ketua Pemuda PKR (AMK) Kedah, Mohammed Firdaus Johari juga turut tidak bersetuju sekiranya bekas ketua menteri Melaka, Idris Haron dan tiga Adun lain menyertai PKR.
ARTIKEL BERKAITAN:
- TERKINI: Idris Haron, YB Beliau, 2 adun lagi sah bersama PH
- DAP tak terima Norhizam dicalonkan sekali lagi – Guan Eng
- Siapa Guan Eng, DAP nak halang saya bertanding bawah PH? – YB Beliau
- AMK Kedah tidak mahu Idris, Norhizam, 2 lagi Adun sertai PKR
- Adly sanggah Guan Eng, Norhizam berhak sertai komponen PH
- Majoriti tolak, PH terpaksa mesyuarat bincang isu 4 Adun Melaka
- BACA ARTIKEL BERKAITAN KRISIS POLITIK MELAKA DI SINI
Join our Telegram Channel