PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said layak dilantik sebagai Peguam Negara kerana ketegasannya dalam amalan demokrasi berparlimen dan undang-undang negara ini.
Perkara itu disuarakan tokoh veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menerusi hantaran Facebook beliau hari ini.
Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu berkata, Azalina sangat layak dilantik sebagai Peguam Negara supaya negara boleh berubah kepada pemisahan antara peranan Peguam Negara iaitu sebagai anggota Jemaah Menteri dan penasihat undang-undang kerajaan dengan peranan pendakwa raya.
“Saya berharap ini akan berlaku, Insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, Azalina dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia).
Perkembangan itu dimaklumkan oleh Azalina menerusi satu hantaran Facebook beliau hari ini.
Dalam pada itu, Shahrir berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil langkah berani dengan melantik Azalina sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri kerana Ahli Parlimen Pengerang itu seorang yang mengambil serius terhadap apa sahaja peranan yang diberikan kepadanya.
Ujarnya, ketegasan Azalina mempertahankan kemuliaan Dewan Rakyat apabila digantung semasa darurat membuktikan dirinya sebagai seorang yang berprinsip tegas termasuk meletakkan jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana tidak mahu berhadapan dengan percanggahan kepentingan dalam kedudukannya sebagai seorang ahli Majlis Tertinggi UMNO.
“Ramai ahli Parlimen, termasuk menteri-menteri, ketika berucap dalam Dewan Rakyat mengguna ungkapan ‘Dewan yang mulia; tapi tidak sebenarnya berpegang pun kepada kata-kata itu. Mereka berdiam diri apabila Parlimen digantung atau ‘dimandulkan’ oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Join our Telegram Channel