Bekas penyelaras DUN Lendu (PH-PKR) direman kes tuntutan palsu



AYER KEROH 13 Okt – Bekas Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu direman enam hari mulai hari ini, selepas disyaki membuat tuntutan palsu hampir RM100,000 berkaitan program-program yang dilaksanakan di kawasan DUN berkenaan.

Perintah reman sehingga 18 Oktober ini dikeluarkan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka di Mahkamah Majistret 3, Ayer Keroh, hari ini.


Sumber SPRM berkata, suspek berusia 37 tahun itu dipercayai membuat tuntutan palsu berkenaan dengan mengemukakan kertas kerja kepada Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah Melaka (PDTAG) berjumlah RM97,868 sedangkan program tersebut tidak dilaksanakan.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap SPRM tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh pada jam 8.40 pagi dan proses permohonan reman selesai kira-kira dua jam kemudian.

Jurucakap SPRM berkata, suspek ditahan selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka pada jam 6 petang semalam bagi membantu siasatan.


Jelasnya, suspek yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), juga ditugaskan sebagai Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat DUN Lendu dalam Parlimen Masjid Tanah telah membuat tuntutan yang dipercayai mempunyai butir matan palsu kepada PDTAG.

Tuntutan itu dibuat terhadap lapan program-program di kawasan DUN Lendu sedangkan ia tidak pernah dilaksanakan bermula Mac 2019 sehingga Februari 2020.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Mohd Shahril Che Saad berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009, jika sabit kesalahan boleh didenda lima kali nilai butir matan atau RM10,000, mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun. – MHI










Join our Telegram Channel
Telegram