Idris kena main dengan DAP tak dapat jadi KM Melaka, kata Rauf



PETALING JAYA: Pengerusi BN Melaka, Ab Rauf Yusoh mendakwa Idris Haron telah dipermain DAP untuk diangkat sebagai calon Ketua Menteri jika bekas ADUN Sungai Udang itu berjaya menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Sulaiman Md Ali dan mengembalikan Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

Beliau berkata, cita-cita Idris menjadi Ketua Menteri sebaliknya tidak kesampaian apabila DAP pusat menolak pencalonannya dan bertegas mahukan Adly Zahari dari Amanah sebagai Ketua Menteri.

“Apabila Idris buat (pengumuman tarik sokongan kepada Sulaiman) secara terbuka kerana beliau yakin menjadi Ketua Menteri, semua akuan bersumpah (SD) diserah kepada DAP, dalam SD beliau bakal Ketua Menteri tapi DAP pusat tolak cadangan tersebut.

“DAP pusat nak Adly Zahari dari Amanah, maka Sungai Udang (Idris) dimainkan DAP, dia menjatuhkan kerajaan, akhirnya beliau tak dapat jadi Ketua Menteri.


“Manusia tamak nak urus kerajaan akhirnya tuntutan nafsu serakah dia tak diizinkan,” katanya ketika berucap sempena pelancaran jentera BN bagi PRN Melaka.

Katanya, Idris juga bertemu Anwar Ibrahim untuk meyakinkan Ketua Pembangkang bahawa dirinya cukup sokongan untuk menjadi Ketua Menteri dan pertemuan itu diatur Adly.

Rauf turut menyalahkan PH selepas kerajaan Melaka pimpinan Sulaiman tumbang apabila gabungan itu berkomplot dengan Idris dan tiga ADUN lain dengan tidak menghormati Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan persekutuan dengan PH di peringkat pusat.

“Kalau PH hormati MoU pasti kita masih lagi boleh teruskan pentadbiran kerajaan negeri.

“Kerajaan Umno Melaka tak jatuh kalau tak disambut oleh PH yang mempunyai kepentingan untuk jatuhkan kerajaan,” katanya.


Dalam ucapannya Rauf sekali lagi menafikan beliau cuma “minta nyawa” dari DAP apabila bertemu pemimpin tertinggi peringkat negeri sebelum kerajaan tumbang.

“Bukan berunding, tapi berbicara secara ilmiah saya tanya dia (Pengerusi DAP Melaka) apa nak jadi dia kata itu bukan masalah DAP itu masalah Umno, bukan masalah DAP (kerajaan Melaka jatuh), itu sebab dia mengatakan yang menjatuhkan Umno ialah orang Umno sendiri.

“Saya tanya dia kenapa tak rujuk MoU yang ditandatangani DAP di Kuala Lumpur dan pilihan raya boleh berlaku selepas bulan Julai tahun depan. Dengan sombong dia berkata, satu hari boleh jadi kerajaan banyak syok.

“Saya cakap dengan dia, saya ada 1001 jalan untuk pertahan kerajaan negeri, kamu nak pegang satu hari kerajaan saya cakap seminit saya tak izin kamu ambil kerajaan, saya tak akan izin DAP kembali jadi kerajaan,” katanya. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram