#PRNMelaka: Bukan PAS, calon KM PN daripada Bersatu – Muhyiddin



MELAKA: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi jawatan Ketua Menteri Melaka akan dipilih daripada Bersatu, kata Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

Dalam sidang medianya, Muhyiddin berkata, PN akan mengumumkan nama calon berkenaan beberapa hari sebelum sebelum hari pengundian pada 20 Nov.

Selain calon Bersatu, PN juga diwakili PAS dan Gerakan, pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka.


“Mengambil kira Bersatu yang mempunyai jumlah calon terbanyak, jawatan berkenaan akan diberikan kepada seorang daripada Bersatu,” katanya.

“Kami akan mengumumkan calon Ketua Menteri tidak lama lagi. Mengapa ambil masa yang lama? Itu adalah strategi kita.”

Menurut Muhyiddin, PN juga akan menubuhkan badan bagi memantau perkembangan pelaksanaan manifesto.

“Ini kerana kita bukan seperti Pakatan Harapan (PH), mereka menjanjikan bulan dan bintang. Sebagaimana kata Dr Mahathir Mohamad, manifesto bukan kitab suci. Kita tidak boleh menipu rakyat,” katanya.


Mengulas berkenaan penentangan membabitkan MCA dan DAP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Muhyiddin berkata, beliau tidak gentar dan yakin pengundi akan memilih calon yang terbaik.

Muhyiddin turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melonggarkan sekatan bagi beberapa hari demi membolehkan calon berkempen, sambil menambah mereka akan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Terdahulu, Barisan Nasional menamakan semula Sulaiman Md Ali sebagai calon Ketua Menteri Melaka, manakala PH turut mencalonkan Adly Zahari, mengisi jawatan berkenaan sekiranya menang PRN Melaka. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram