Putin arah Russia serang Ukraine



MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin, sebentar tadi mengumumkan 'operasi tentera' sudah bermula di Ukraine dan mengarahkan tentera negara itu meletakkan senjata serta menyerah.

Putin, dalam perutusan khas melalui televisyen, mengisytiharkan perang terhadap Ukraine tanpa menghiraukan desakan Barat dan global sejak kebelakangan ini supaya jangan melakukannya.

"Saya sudah membuat keputusan melancarkan operasi tentera," katanya sejurus sebelum jam 6 pagi waktu tempatan (11 pagi waktu Malaysia) di Moscow dan berikrar akan menentang sesiapa saja yang campur tangan.

Sehubungan itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berkata pihaknya bersama sekutu lain akan bertindak balas terhadap Russia kerana mengisytiharkan operasi tentera di Ukraine.


"Kita akan bertindak terhadap serangan tidak berasas munasabah dan tanpa provokasi oleh tentera Russia ini.

"Presiden (Vladimir) Putin memilih untuk melancarkan perang yang akan membawa kehilangan nyawa dan kesengsaraan yang dahsyat.

"Russia secara peribadi bertanggungjawab terhadap kematian dan kemusnahan yang diakibatkan serangan ini. Dunia akan memastikan Russia bertanggungjawab," katanya selepas beberapa siri letupan kedengaran di ibu negara Ukraine Kyiv, sebentar tadi.

Tambah Biden, beliau akan mengumumkan tindakan terhadap Russia oleh AS dan sekutunya dalam masa terdekat.

Skop operasi ketenteraan Russia di Ukraine tidak lagi jelas sepenuhnya tetapi wartawan Reuters di Kyiv mengesahkan beberapa siri letupan seperti tembakan artileri kedengaran sejurus selepas Putin selesai berucap.


"Russia tidak boleh rasa selamat, membangun dan wujud dengan bahaya dan ancaman sentiasa ada dari wilayah moden Ukraine," katanya.

Beliau menyampaikan ucapan itu ketika AS mendakwa lebih 150,000 anggota tentera Russia bersiap sedia menyerang Ukraine selepas puak pemisah pro Russia di selatan negara itu meminta bantuan Putin.

"Semua tanggungjawab dan pertumpahan darah akibat pertembungan ini adalah kesilapan pemerintah Ukraine sekarang.

"Jangan sesiapa pun meragui bahawa sebarang serangan langsung terhadap Russia akan mengakibatkan kekalahan dengan kesan dahsyat bagi mana-mana pihakyang melakukannya," katanya. – Agensi




Join our Telegram Channel
Telegram