Saya tak ada kroni, tak beri projek kepada kroni – Dr M



PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan Najib Razak bahawa beliau memberi tekanan kepada Ahli Parlimen Pekan itu supaya menyokong projek-projek kroninya sewaktu menjadi Perdana Menteri.

“Kalau saya ada kroni, saya boleh jaga kroni saya.

“Saya tak ada kroni. Saya ada orang-orang berkebolehan. Saya tak tolong orang tak ada kebolehan,” katanya pada sidang media Pejuang.

Pada Ahad lalu, Najib mendedahkan Mahathir selalu memberi tekanan kepada beliau untuk menyokong projek-projek kroni Ahli Parlimen Langkawi itu sewaktu menjadi Perdana Menteri.


Najib berkata demikian sebagai respon kepada surat kedua Mahathir kepada pengundi Johor yang tidak mahu dirinya kembali berkuasa.

Sebelum Ini, Mahathir mengakui beliau malu untuk “meratib” nama Najib yang terpalit tuduhan penyelewengan dana negara, namun berbuat demikian bagi memastikan Ahli Parlimen Pekan itu tidak kembali berkuasa.

Mahathir turut memaklumkan pada awalnya beliau menyokong kepimpinan Najib sebagai perdana menteri kerana yakin keupayaannya dan juga terhutang budi kepada Abdul Razak Hussein yang mengangkat karier politiknya.

Dalam pada itu, Mahathir berkata beliau hanya membantu orang yang berkebolehan sahaja dan keluarganya juga tidak dibantu sehingga menjadi kaya raya.

“Umpama kerajaan mempunyai modal satu juta nak bagi orang. Kalau kita bagi orang tak ada kebolehan, RM1 juta itu akan hilang.


“Sebab itu bila kita nak bantu, nak bagi kontrak, kita nak tahu dulu, boleh ke tak boleh, berasas pencapaian sebelum,” katanya.

Mahathir juga meminta Najib menunjukkan bukti dakwaan mengatakan beliau membantu anaknya sehingga menjadi billionaire.

Dalam perkembangan lain, Mahahtir juga berkata Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi ada menemuinya sebelum beliau menjadi Perdana Menteri kali kedua untuk menghentikan kes siasatan jenayahnya yang sedang berjalan.

“Zahid datang ke rumah saya bersama dua, tiga orang lagi. Dia cuba nak baik-baik dengan saya pada masa itu ada kemungkinan saya jadi Perdana Menteri. Sebab itu ingin baik dengan saya.

“Tetapi saya tahu masalah Zahid dia ada kemungkinan dia akan dimasuk dalam tahanan, masuk penjara kerana perbuatan curang dia, jenayah dilakukan,” katanya. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram