#PRNJohor: 46% keluar mengundi setakat 3 petang



PETALING JAYA: Kira-kira 46% pengundi yang layak sudah mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor setakat 3 petang tadi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ini bermakna kira-kira 1.17 juta pengundi sudah menunaikan tanggungjawab mereka sejak pusat mengundi dibuka 8 pagi tadi, dengan pengundian dijadualkan berakhir 6 petang ini.

Terdapat 2,539,606 pengundi layak mengundi dalam PRN Johor. Daripada jumlah itu, 21,407 adalah pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis, tentera dan pasangan mereka, manakala 18,625 atau 87% sudah membuang undi pada 8 Mac lalu.


Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkongsi mesej di Twitter bahawa jumlah pengundi meningkat kepada 1.19 juta orang menjelang 3.50 petang.

“Ini bersamaan 79.5% pengundi yang keluar mengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu,” katanya, yang mengambil kira peningkatan jumlah pengundi baharu yang layak.

Pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik menyaksikan pertambahan kira-kira 750,000 pengundi baharu yang layak di Johor, iaitu peningkatan kira-kira 30% daripada daftar pemilih bagi PRU14 pada Mei 2018.

Seramai 223 calon daripada 15 parti politik dan 16 calon bebas bertanding untuk merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.


Parti politik terbabit ialah Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pejuang, Pakatan Harapan (PH), MUDA, Warisan, Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Dua kerusi DUN menyaksikan pertandingan tujuh penjuru; empat kerusi DUN melibatkan enam penjuru; lapan kerusi DUN melibatkan lima penjuru, 35 kerusi (empat penjuru) dan tujuh kerusi (tiga penjuru). – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram