Yang setia ini yang tarik dia ke bawah, Rafizi selar kumpulan Anwar



Beberapa hari selepas mengumumkan untuk kembali bergiat dalam politik, Rafizi Ramli menyuarakan kritikan terhadap pihak yang disifatkannya sebagai penyokong setia Anwar Ibrahim dalam PKR, yang menurutnya gagal mewujudkan naratif yang kuat untuk parti itu serta PH sejak PRU14.

Mengulas pencapaian PKR dalam PRN Johor, Rafizi berkata parti itu gagal meyakinkan orang ramai terhadap naratif asalnya, yang dibentuk oleh faktor seperti ketekalan dan komitmen untuk menawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat.

“Dari keputusan di Sarawak, Sabah, Melaka dan Johor, (kita lihat) macam mana kuat pun kerja di bawah, kalau naratif di peringkat pusat tak kuat, kita akan ketinggalan,” kata bekas ahli parlimen Pandan itu.

“Saya kasihan dengan Anwar kerana penyokongnya ramai tapi (mereka) tak bantu untuk cipta naratif.


“Kadang-kadang (kalangan) yang setia ini yang menarik dia ke bawah. Kalau nak harap Anwar seorang, letihlah dia,” katanya dalam sesi perbincangan bertajuk “Terpaling Terus-terang” bersama-sama Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar semalam.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan yang diajukan Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh yang bertindak sebagai moderator.

Beberapa tahun berundur daripada arena politik, Rafizi yang merupakan bekas naib presiden PKR pada 15 Mac lalu mengumumkan untuk bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan PKR akan datang.

Jawatan itu tidak diisi sejak Azmin Ali keluar parti untuk menyertai Bersatu, ketika Langkah Sheraton yang menyaksikan runtuhnya kerajaan PH pada Februari 2020.

Sejak itu, Rafizi dan Nurul Izzah berkata terpaksa memikul tanggungjawab terhadap kekalahan yang berpunca daripada keputusan bersama, serta kegagalan pihak yang dekat dengan presiden PKR itu.

“Sejak dua tiga tahun lepas, semua serah kepada Anwar, tak adil untuknya. Kalau menang kredit kepada PH, kalau kalah semua (tanggungjawab) bagi dekat dia.


“Kita perlu naratif ini dibentuk semula, penanda aras baru untuk ahli politik. Tak cukup sekadar pergi ke Parlimen dan bercakap di Twitter,” kata Rafizi lagi.

Nurul Izzah meletakkan jawatan sebagai naib presiden PKR pada Disember 2018. Setakat ini, dia belum mengumumkan secara rasmi rancangannya untuk kembali aktif dalam parti.

Namun sepanjang sesi semalam, dia kelihatan mungkin akan bersama-sama dengan Rafizi dalam pemilihan PKR pada bulan depan.

Tidak lama selepas pengumuman Rafizi, bekas Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa salvador menuduhnya menyindir Anwar.

‘Masalah bukan pada presiden’

Namun Rafizi menegaskan dia tiada masalah dengan kedudukan Anwar sebagai presiden dan keputusannya untuk bertanding kerana yakin dengan PKR sebagai parti berbilang kaum yang “mencerdikkan rakyat”.

“Dan tempat paling baik untuk saya masuk kali ini adalah timbalan presiden kerana saya rasa tak ada masalah dengan presiden.

“Saya tak rasa pada usia 75 tahun, Anwar perlu berlari seperti orang muda 40, 50 tahun. Masalahnya bila orang di sekelilingnya yang patut berlari, tapi tak berlari.


“Saya rasa mereka di sekeliling Anwar sepatutnya lebih rajin dan cekap, beri impak lebih besar. Bukannya tunggu Anwar buat apa.

“Bukan suruh Anwar buat semua lepas itu jual namanya untuk naik dalam parti. Ini bahaya,” katanya lagi.

Rafizi berkata dia secara konsisten bersuara tentang amalan itu dalam PKR, dan yakin ia hanya melibatkan sekumpulan kecil yang menggelarkan diri mereka penyokong setia Anwar.

Secara keseluruhan, dia juga berkata PKR dan PH berisiko kalah lebih banyak kerusi jika dilihat lebih mengutamakan usaha mendapat kuasa berbanding menangani isu dihadapi rakyat.

Ia berisiko menyebabkan gabungan itu menjadi pilihan ketiga, selepas BN dan Perikatan Nasional, pada PRU akan datang, katanya lagi.

Selepas kekalahan di Sarawak dan Melaka, PKR sekali lagi menunjukkan prestasi buruk dengan hanya menang satu daripada 20 kerusi yang ditandingi dalam PRN Johor minggu lalu. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram