Seremban: Bapa kepada bayi perempuan berusia 15 bulan yang meninggal dunia di
pusat jagaan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan di sini, pada 22
Februari lalu mahukan keadilan atas kematian anaknya itu.
Yuseri Yusoff, 39, berkata, setakat ini masih tiada sebarang pendakwaan dibuat
selepas 37 hari Nour Rania Asyifaa meninggal dunia.
Berikutan itu, Yuseri memberi tempoh dua minggu kepada pihak polis untuk
mengemukakan hasil siasatan terhadap kejadian kematian anaknya.
"Polis berjanji satu siasatan yang adil akan dilakukan di mana individu
bertanggungjawab akan dibawa kepada pihak pendakwaan.
"Kami hanya ingin jernihkan keadaan dan lebih kepada mahu menuntut pembelaan.
Saya berbincang dengan peguam pemerhati dan kami bagi masa dua minggu kepada
polis (untuk kemukakan siasatan)," kataya ketika ditemui di pekarangan Ibu
Pejabat Daerah (IPD) Serembandi sini, hari ini.
Beliau sebelum itu hadir ke IPD Seremban bersama dua peguam pemerhati iaitu
Muhammad Amin Anuar dan Musfira Mohd Fahmi bagi memberi keterangan berhubung
laporan polis yang dibuatnya pada 28 Mac lalu di IPD Sentul, Kuala Lumpur.
Yuseri berkata, beliau dimaklumkan kertas siasatan kes kematian anaknya itu
sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, namun belum pasti seksyen atau
akta pertuduhan dibuat.
Sementara itu, Muhammad Amin berkata, kebiasaannya dalam mana-mana kes, sebaik
saja laporan polis dibuat, akan ada yang individu ditahan reman untuk siasatan
lanjut.
Bagaimanapun katanya, berbeza dengan kes 'Baby Syifaa' itu kerana sehingga
kini tiada sebarang pendakwaan dibuat dan ia menimbulkan keraguan kepada
keluarga.
"Kami bersetuju untuk beri ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan dan
jika tiada sebarang perkembangan selepas tempoh dua minggu, kita akan ambil
tindakan selanjutnya berlandaskan undang-undang.
"Kita menghormati polis dan sistem keadilan. Cumanya tertanya-tanya apabila
kes ini yang mempunyai bukti yang sangat pelik dan pandangan daripada nasihat
pakar forensik berhubung kematiannya, tiada nampak perkembangan selanjutnya,"
katanya.
Menurutnya, jika tiada perkembangan lanjut, pihaknya akan mengemukakan
cadangan supaya inkues diadakan termasuk melakukan autopsi semula kepada mayat
bayi kepada anak guamnya itu.
Join our Telegram Channel