Benarkan kerabat Raja sertai politik supaya mereka boleh dikritik – Mahfuz



Seorang ahli parlimen pembangkang hari ini mencadangkan supaya keluarga atau kerabat diraja diberi pilihan untuk menyertai politik, sekali gus membolehkan mereka dikritik secara terbuka seperti ahli politik lain.

Mahfuz Omar (Pakatan Harapan-Pokok Sena) berkata terdapat persepsi di kalangan orang ramai bahawa kerabat tertentu di negara ini sudah pun mempunyai kecenderungan berpolitik mereka.

Ini, katanya, dapat dilihat daripada kenyataan yang dibuat oleh individu tertentu pada masa lalu yang menunjukkan sokongan kepada parti yang mereka sukai.

“Jadi persoalan saya adalah kerana ada perspesi pada keluarga diraja punyai kecenderungan politik, kenapa tidak masukkan juga beri hak kepada yang di-Pertuan Agong dengan persetujuan Majlis Raja-Raja menentukan mana-mana (kerabatnya) yang punya minat politik untuk mereka ini menyertai politik secara sah.


“Ini untuk mengelak daripada persoalan kritikan yang tidak sepatutnya mereka ini dilihat dari keluarga raja, akhirnya yang mengkritik diambil tindakan kerana undang-undang (melarang mereka daripda dikritik) yang tidak dikritik pada saya lebih elok,” katanya.

Mahfuz membuat cadangan itu ketika membahaskan usul kerajaan untuk meminda Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan bagi mengecualikan kerabat diraja daripada menjadi pengundi berdaftar.

Pindaan yang dicadangkan itu bertujuan memasukkan klausa yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengecualikan mana-mana ahli keluarga diraja, Sultan, isteri dan waris mereka, serta Yang di-Pertua Negeri daripada daftar pemilih negara.

“Jadi lebih mudah kita bertempur dari sudut politik, bila nak kritik mereka, (kita) kritik bukan keluarga raja tapi (diri mereka) sebagai ahli politik, kita menegur dia sebagai orang politik,” kata Mahfuz.

Sementara itu, semasa sesi perbahasan, seorang lagi ahli parlimen membangkitkan soalan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengenai isu perlembagaan untuk mengecualikan keluarga diraja daripada mengundi.


Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkata walaupun dia memahami tujuan cadangan itu, terdapat kebimbangan sama ada pengecualian itu akan menjejaskan hak keluarga diraja sebagai warganegara Malaysia untuk mengundi dalam pilihan raya.

“Persoalannya ialah, bila diluluskan ini membawa makna hak Raja pemerintah, Raja-Raja dan isterinya dan sebagainya, hak mereka telah dicabut daripada yang diiktiraf oleh perlembagaan.

“Mungkin YBM sudah dapat pandangan dari peguam negara (AG), tapi saya suka nyatakan bahawa AG bukannya maksum.

“Kita penggubal undang-undang. Adakah kita luluskan ini kita bergerak ke depan sebagai masyarkat progresif?” soalnya. – Mkini

 

Join our Telegram Channel
Telegram