Dipenjara 7 bulan kerana gigit isteri



KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kontrak binaan warga Indonesia dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan isterinya sehingga luka di tangan serta lengan.

Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu ke atas Samhaji, 48, kerana memukul, menendang dan menggigit isterinya berumur 41 tahun di rumah mereka di Pangsapuri Dahlia Jalan Desa, Bandar Country Homes Rawang, pada 12 tengah hari, 13 Feb lalu.


Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu, di hadapan Majistret Nik Fadli Nik Azlan, tertuduh dihukum penjara enam bulan atas pertuduhan ugutan membunuh sehingga mendatangkan ketakutan kepada anak tirinya berumur 21 tahun, serta penjara tiga bulan kerana masuk ke negara ini tanpa permit yang sah mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di lokasi, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.


Bagaimanapun, semua hukuman itu diarahkan berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 3 Mac lalu, dan lelaki itu perlu menjalani hukuman penjara selama tujuh bulan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Khairunnisak Hassni dan TPR Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram